
HATYAI, THAILAND – Cubaan satu sindiket untuk menyeludup dadah jenis syabu seberat lebih 205 kilogram (kg) bernilai RM12.26 juta ke Malaysia gagal selepas empat anggota kumpulan tersebut dicekup di dalam beberap siri serbuan di sini pada Jumaat dan Ahad lalu.
Bahagian Pembanterasan Narkotik Polis Wilayah 9, Balai Polis Hatyai dan Lembaga Kawalan Narkotik Wilayah 9 berjaya menggagalkan cubaan sindiket itu untuk menyeludup kesemua dadah tersebut menggunakan kurier dari Hatyai ke Narathiwat.
Jurucakap Bahagian Pembanterasan Narkotik Polis Wilayah 9 berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penghantaran beberapa bungkusan disyaki dadah menggunakan perkhidmatan syarikat kurier pada Jumaat lalu.
Katanya, pihak berkuasa menahan suspek kira-kira pukul 9.30 pagi pada hari tersebut ketika lelaki itu mengambil bungkusan di sebuah syarikat kurier di Mukim Ban Phru di sini menggunakan sebuah trak pikap.
“Pemeriksaan mendapati, beberapa bungkusan mengandungi syabu bersama suspek. Siasatan lanjut terhadap lelaki itu membawa kepada penangkapan dua lagi suspek di kediaman mereka di Mukim Khuan Lang di sini.
“Lelaki pertama yang dicekup diberikan kepercayaan untuk menghantar dadah berkenaan kepada dua lagi suspek,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jurucakap itu memberitahu, salah seorang suspek yang ditahan mengaku telah melakukan tiga penghantaran syabu seberat 800 kg kepada seorang rakan mereka di Narathiwat dekat sini dan menerima bayaran kira-kira RM19,622 hingga RM24,528 untuk tugasan tersebut
Katanya, siasatan lanjut mendapati, seorang wanita ketika itu sedang dalam perjalanan dari Wilayah Narathiwat untuk mengambil dadah berkenaan.
“Risikan dilakukan sebelum seorang wanita warga emas berusia 62 tahun yang memandu sebuah trak pikap ditahan di Jalan Kanchanawanit di sini pada Ahad lalu,” ujarnya.
Tambah jurucakap itu, wanita terbabit mengaku bahawa dadah seberat 205 kg itu akan dihantar ke Jeti Tak Bai, Narathiwat sebelum diseludup ke Malaysia melalui Pengkalan Kubor, Tumpat. – KOSMO! ONLINE
The post Sindiket Thailand gagal seludup 205 kg syabu ke Malaysia appeared first on Kosmo Digital.






