
SHAH ALAM: Penambahbaikan kawalan keselamatan dan tindakan penguatkuasaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dilihat tidak mengurangkan cubaan sindiket untuk terus menyeludup dadah melalui pintu utama sempadan negara itu.
Ini kerana, sebanyak 600.3 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah termasuk kokain bernilai RM37.5 juta ditumpaskan dalam siri serbuan yang bermula pada 4 Ogos lalu hingga kelmarin.
Serbuan tersebut turut membawa kepada pembongkaran kegiatan pengedaran syabu dan heroin base di sekitar Ampang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kesemua serbuan itu membawa kepada penahanan 12 suspek berusa antara 22 hingga 54 tahun, termasuk warga asing yang dipercayai menjadi keldai dadah.
“Mereka dipercayai diperdaya dengan tawaran pekerjaan bergaji lumayan menerusk aplikasi Whatsapp dan Telegram dan diminta untuk membawa bagasi ke negara tertentu.
“Mereka mendapat tawaran daripada individu tidak dikenali untuk datang ke Malaysia. Umpan awal adalah tawaran pekerjaan menerusi media sosial dan ada antara mereka yang mendakwa tidak mengetahui bagasi dibawa mengandungi dadah,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Tambahnya, tangkapan salah seorang lelaki warga asing berusia 39 tahun yang menyeludup kokain seberat 7.7 kg dipercayai untuk pasaran tempatan di KLIA oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) turut membawa kepada pembongkaran pengedaran dadah di Ampang.
“Secara keseluruhan, dadah yang dirampas terdiri daripada bunga ganja seberat 96.1kg, syabu (408.6kg), heroin base (87.9kg) dan kokain (7.7kg),” jelasnya.
Shazeli berkata, polis turut merampas masing-masing sebuah Toyota Hilux dan Honda City serta wang tunai berjumlah RM2,704.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata tiga suspek sudah pun dituduh mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala dua lagi dituduh mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Seorang suspek pula dibebaskan kerana tidak terdapat elemen pembuktian yang mencukupi berhubung penglibatannya dalam sindiket,” ujarnya. – UTUSAN
The post 600kg dadah lagi dirampas di KLIA appeared first on Utusan Malaysia.






