
GEORGE TOWN : Enam individu termasuk dua kanak-kanak berdepan detik-detik mencemaskan apabila terperangkap dalam lif yang terhenti secara tiba-tiba di tingkat tiga sebuah pangsapuri di Lilitan Sungai Ara, Bayan Lepas di sini, malam tadi.
lebih mencemaskan, salah seorang daripada mereka iaitu seorang wanita berusia 25 tahun dilaporkan tidak sedarkan diri susulan kejadian tersebut.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.55 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, sebaik sahaja tiba di sana, komander operasi membuat penilaian sebelum menjalankan kerja-kerja menyelamat dilakukan dengan menggunakan peralatan khas.
“Pintu lif akhirnya berjaya dibuka kira-kira pukul 9.31 malam dan kesemua mangsa dikeluarkan dalam keadaan selamat. Mangsa yang tidak sedarkan diri pula telah diberikan rawatan awal oleh anggota Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Tambah beliau, operasi menyelamat berakhir sekitar pukul 10.10 malam sebelum kes diserahkan kepada pihak pengurusan bangunan untuk tindakan lanjut.-UTUSAN
The post Enam terperangkap dalam lif, seorang tidak sedarkan diri appeared first on Utusan Malaysia.





