Enam warga asing direman bantu siasatan kes bunuh

10 Sep 2026 • 8:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Enam warga asing direman bantu siasatan kes bunuh
Pihak polis menerima laporan berhubung pergaduhan membabitkan tujuh warga asing itu pada kira-kira jam 9 malam semalam. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Enam warga asing direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki dalam kejadian pergaduhan di Rasa, Hulu Selangor, semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden M Manimaran berkata, reman terhadap semua suspek melibatkan empat lelaki dan dua wanita itu bermula hari ini hingga 16 September bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, pihak polis menerima laporan berhubung pergaduhan membabitkan tujuh warga asing itu pada kira-kira jam 9 malam semalam.

"Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa, seorang lelaki warga asing berumur dalam lingkungan 40 tahun, telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Bertindak atas maklumat, pihak polis telah berjaya menahan enam suspek berumur antara 30 hingga 50 tahun," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Manimaran berkata, dengan penahanan kesemua suspek terbabit, kes bunuh berkenaan dianggap selesai.

Katanya, semakan lanjut mendapati kesemua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan air kencing mengesahkan mereka negatif dadah. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved