
SHAH ALAM: Dadah seberat kira-kira 259.6 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM31.53 juta dirampas dalam operasi yang melibatkan enam sindiket pengedaran berasingan di sekitar Lembah Klang.
Kesemua rampasan dibuat dalam tujuh siri serbuan oleh polis yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan dibantu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan Sepang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kesemua tangkapan membabitkan tujuh kes di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA); Segambut, Kuala Lumpur serta di Kajang dan Sepang.
“Polis merampas 214 bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat disyaki dadah jenis bunga ganja anggaran berat 135.4 kg. 2,325 peket plastik berisi dadah Methylenedioxyamphetamine (MDMA) seberat 117.54 kg dan 14 peket plastik berisi 4.94 kg pil ekstasi.
“Selain itu, polis turut merampas 320 aluminium foil berisi 1.019 kg pil erimin 5, 22 botol dan 118 kotak katrij berisi cecair MDMA dengan anggaran berat 17.6 gram (g) serta sebuah bungkusan plastik berisi 444 g serbuk ketamin,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Jelasnya, dalam operasi tersebut 14 individu berusia 20 hingga 39 tahun ditahan termasuk empat wanita. Mereka terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita warga asing yang dipercayai terlibat dalam rangkaian sindiket dadah ditumpaskan.
“Polis turut merampas lima mesin dipercayai alat untuk membungkus dadah. Selain itu, terdapat harta yang disita iaitu lima kenderaan pelbagai jenis Honda CRV, Nissan Teana, Mazda 6, Honda City dan Proton Saga.
”Wang tunai RM3,879, empat utas rantai berwarna keemasan dan satu beg tangan berjenama Hermes yang keseluruhannya bernilai RM172,069 turut dirampas,” ujarnya.
Shazeli berkata, bagaimanapun 11 daripada mereka sudah dituduh di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 pada akhir bulan lalu.
“Seoran suspek disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 dan dua lagi dibebaskan.
“Hasil semakan rekod lampau hanya seorang suspek tempatan mempunyai dua rekod. Sementara semakan bagi dokumen perjalanan mendapati, lima warga asing tinggal lebih masa di negara ini,” jelasnya. – UTUSAN
The post Polis Selangor rampas dadah RM31.53 juta appeared first on Utusan Malaysia.






