England benam Perancis 82-0, harapan ke separuh akhir masih bernyawa

24 Oct 2026 • 8:07 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: England benam Perancis 82-0, harapan ke separuh akhir masih bernyawa

PERTH: England kembali menghidupkan peluang ke separuh akhir Piala Dunia Ragbi Liga selepas membelasah Perancis 82-0 dalam aksi Kumpulan B, hasil hatrik Herbie Farnworth dan Dominic Young, semalam.

Kemenangan besar itu menyaksikan England meledak 14 try di Perth, sekali gus bangkit daripada kekalahan 12-30 kepada Tonga dalam aksi pembukaan untuk merekodkan kemenangan pertama di bawah bimbingan ketua jurulatih Brian McDermott.

Bagaimanapun, laluan England ke kelompok empat terbaik masih berliku apabila mereka perlu menewaskan Papua New Guinea pada 30 Oktober ini di Wollongong, selain mengharapkan Tonga menundukkan Samoa.

Hanya dua pasukan terbaik daripada Kumpulan B dan C kejohanan yang membabitkan 10 negara itu layak ke separuh akhir, menjadikan pertembungan seterusnya sebagai aksi hidup mati buat England yang kini memiliki rekod satu menang dan satu kalah.

Kapten England, George Williams berkata, beliau berpuas hati dengan kebangkitan dipamerkan pasukannya selepas dikejutkan Tonga, selain memuji keupayaan barisan pemain menghasilkan mata dalam jumlah besar.

“ Saya bangga. Kami menunjukkan sedikit kegugupan selepas minggu lalu, tetapi bangkit dengan baik dan menggembirakan apabila dapat mengutip banyak mata,” katanya.

England pada awalnya bergelut menembusi benteng pertahanan Perancis sebelum Williams memecah kebuntuan pada minit ke-23 menerusi larian bertenaga dan hantaran sebelah tangan yang disudahkan Young.

Jaringan itu menjadi pencetus kebangkitan England apabila Matty Ashton menambah try sebelum Farnworth mencuri tumpuan dengan tiga try dalam tempoh 13 minit, termasuk satu aksi menakjubkan apabila melepasi beberapa pemain lawan untuk melebarkan jurang kepada 36-0 sebelum rehat.

Young melengkapkan hatriknya pada separuh masa kedua ketika England terus menguasai permainan, manakala AJ Brimson menutup pesta jaringan pada minit ke-77 untuk mengesahkan kemenangan kedua terbesar England dalam sejarah Piala Dunia Ragbi Liga.

Bagi Perancis, kekalahan itu menambah derita selepas turut dibelasah Samoa 4-78 dalam aksi pembukaan. Kapten Benjamin Garcia mengakui prestasi pasukannya masih jauh daripada memuaskan, namun menegaskan mereka perlu terus bekerja keras untuk bangkit.

Sementara itu, Samoa meneruskan rentak cemerlang apabila membenam Papua New Guinea 64-6 di Port Moresby, dengan 13 try dihasilkan selepas bangkit menguasai permainan pada separuh masa kedua di hadapan penyokong tuan rumah yang memenuhi Stadium Bola Sepak Nasional Santos.-AGENSI

The post England benam Perancis 82-0, harapan ke separuh akhir masih bernyawa appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved