
PETALING JAYA – Zeekr Intelligent Technology Malaysia (Zeekr Malaysia) memperluas rangkaian jualan dan perkhidmatan selepas jualannya di Malaysia menerusi kerjasama dengan Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON).
Kerjasama itu dimuktamadkan menerusi pemeteraian Perjanjian Pengedar semalam yang menyaksikan EON, antara peruncit automotif pelbagai jenama terkemuka negara, menyokong pengembangan portfolio kenderaan elektrik (EV) premium Zeekr.
Portfolio Zeekr Malaysia ketika ini terdiri daripada Zeekr X, Zeekr 009 dan Zeekr 7X.
Pengurus Besar Zeekr Malaysia, Eddy Lu berkata, kerjasama itu bukan sekadar untuk memperluas rangkaian runcit, sebaliknya turut memberi tumpuan kepada pengalaman pemilikan pelanggan.
“Dengan pengalaman luas EON dalam peruncitan automotif dan fokus mereka terhadap pelanggan, kami berharap dapat memperkukuh kehadiran serta menyokong pertumbuhan Zeekr di negara ini,” katanya dalam kenyataan.
Dalam fasa pertama kerjasama itu, EON akan mengendalikan Zeekr Pop-up Store di AEON Mall Shah Alam.
Premis di aras bawah berkeluasan kira-kira 1,340 kaki persegi itu dijangka mula beroperasi pada Oktober 2026, sekali gus memberikan kehadiran runcit Zeekr di Shah Alam.
Fasa seterusnya membabitkan pembukaan Zeekr House Glenmarie, iaitu fasiliti khusus yang menghimpunkan perkhidmatan jualan, penyerahan kenderaan dan selepas jualan di bawah satu bumbung.
Fasiliti berkenaan dijangka siap pada suku pertama 2027.
Ketua Pegawai Eksekutif EON Berhad, Akkbar Danial berkata, pihaknya akan bekerjasama rapat dengan Zeekr bagi memperkukuh kehadiran dan capaian jenama itu dalam pasaran Malaysia.
Katanya, EON akan menyediakan ekosistem yang membolehkan pelanggan menikmati teknologi dan inovasi Zeekr, selain perkhidmatan serta sokongan pelanggan EON sepanjang tempoh pemilikan kenderaan. – KOSMO! ONLINE
The post Zeekr perluas rangkaian menerusi kerjasama strategik EON appeared first on Kosmo Online.





