EON tampil fasiliti baik pulih badan dan cat automotif berskala besar

LocalCars
31 Oct 2026 • 8:05 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: EON tampil fasiliti baik pulih badan dan cat automotif berskala besar

SHAH ALAM – Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) memperkukuh jenama menerusi pembukaan pusat baik pulih badan dan cat kenderaan di Glenmarie, di sini yang mampu mengendalikan sehingga 400 kenderaan sebulan.

Pusat seluas 3,856.2 meter persegi (41,508 kaki persegi) itu merupakan antara kemudahan baik pulih badan dan cat kende­raan terbesar di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif EON, Akkbar Danial berkata, pembukaan pusat itu mencerminkan komitmen syarikat untuk memastikan hubungan dengan pelanggan berterusan selepas pembelian kenderaan.

Menurutnya, pertambahan unit operasi membuka ruang kepada EON untuk memperluas perkhidmatan selepas jualan, sekali gus memenuhi keperluan pelanggan sepanjang tempoh pemilikan kenderaan.

“Pembelian kereta bukan noktah hubungan kami dengan pelang­gan.

“Selepas mereka membeli kereta, kami mahu mereka terus bersama EON dan berasa selesa mendapatkan perkhidmatan daripada kami.

“Pusat baik pulih badan dan cat ini antara perkara penting yang perlu kami jaga bagi memastikan pengalaman pelanggan berterusan sepanjang tempoh pemilikan kenderaan,” katanya.

Image from: EON tampil fasiliti baik pulih badan dan cat automotif berskala besar
Akkbar menjawab soalan pemberita pada majlis perasmian.

Pusat berkenaan dirasmikan oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Perkhidmatan Korporat DRB-HICOM Berhad, Datuk Jezilee Mohamad Ramli.

Akkbar berkata, kemudahan itu dilengkapi 39 ruang kerja, tiga bilik bancuhan cat dan empat ruang semburan cat, selain menggunakan teknologi pembaikan moden serta disokong tenaga kerja terlatih.

Menurutnya, pusat berkenaan mampu mengendalikan antara 360 hingga 400 kenderaan sebulan, dengan operasi awal disokong 25 pekerja di bahagian operasi.

“Pelaburan ini dibuat kerana kita melihat potensi untuk berkembang. Kita mahu pelanggan mendapat perkhidmatan yang telus, berkualiti dan memenuhi standard ditetapkan bagi setiap jenama,” tegasnya.

Katanya, pusat itu menyokong operasi pelbagai jenama di bawah EON termasuk Proton, Mitsubishi, Audi dan kenderaan elektrik (EV) smart, manakala Proton e.MAS dijangka menyertai rangkaian per­khidmatan tersebut dalam masa terdekat.

Tambahnya, pusat itu turut menyediakan perkhidmatan secara terus atau walk-in, termasuk bagi pembaikan kecil seperti calar pada badan kenderaan dengan ruang menunggu turut disediakan untuk keselesaan pelanggan.

Pusat itu juga menerima tuntutan pembaikan akibat kemalangan daripada syarikat insurans di negara ini.

“Kita menitikberatkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), kemahiran pekerja serta penggunaan kelengkapan yang memenuhi keperluan setiap jenama bagi memastikan mutu pembaikan sentiasa terjaga.

“Kita juga mempunyai kepakaran dalam Sistem Bantuan Pemandu Lanjutan (ADAS) serta ruang khusus untuk menyokong kerja berkaitan sistem itu. Semua kelengkapan perlu memenuhi standard jenama yang dikendalikan,” katanya.

Image from: EON tampil fasiliti baik pulih badan dan cat automotif berskala besar
Ruang kerja yang luas dan selesa, disokong peralatan terkini memastikan kualiti hasil terbaik serta menepati standard.

Bagaimanapun, Akkbar berkata, cabaran utama adalah memastikan tempoh menunggu dapat dikurangkan apabila jumlah pe­langgan meningkat tanpa menjejaskan standard pembaikan.

Justeru katanya, EON meng­aplikasikan sistem pengurusan tenaga kerja secara digital untuk memantau penggunaan ruang kerja, tempoh pembaikan, tugasan teknikal dan prestasi operasi.

“Melalui sistem ini, kami dapat memantau operasi dengan lebih teratur, mengenal pasti ruang untuk meningkatkan kecekapan dan menguruskan kapasiti pusat de­ngan lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, Akkbar berkata, EON menawarkan harga berpatu­tan dengan penggunaan cat ber­kualiti bagi memastikan hasil pembaikan memenuhi standard ditetapkan.

“Pelanggan turut diberikan jaminan selama setahun bagi kerja pembaikan yang dilakukan,” kata­nya.

Mengulas perancangan pe­ngembangan, Akkbar berkata, EON berhasrat memperluas rangkaian pusat baik pulih badan dan cat ke lokasi strategik di Wilayah Utara, Tengah, Selatan dan Pantai Timur Semenanjung berdasarkan permintaan serta potensi pasaran.

“Jika permintaan meningkat, kita juga boleh mempertimbangkan untuk menerima kenderaan jenama luar EON, termasuk melalui kerjasama dengan penyedia perkhidmatan luar,” katanya.

 

 

 

The post EON tampil fasiliti baik pulih badan dan cat automotif berskala besar appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved