amree23/10/2026 - 17:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Okt – Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) memperkukuh perniagaan selepas jualannya menerusi pembukaan hab pertama bagi perkhidmatan membaiki badan dan mengecat kenderaan di Glenmarie, Shah Alam, bagi memenuhi permintaan pelanggan.
Menurut kenyataan kumpulan itu, langkah terbaharu ini membolehkan ia mengembangkan perkhidmatan melangkaui jualan kenderaan, khususnya bagi pelanggan yang memerlukan pembaikan menyeluruh akibat kemalangan, pemulihan badan kenderaan serta kerja mengecat semula.
Tambahnya, hab berkeluasan 3,856 meter persegi itu antara yang terbesar di negara ini, dilengkapi dengan 39 ruang kerja, tiga bilik bancuhan cat dan empat ruang semburan cat, selain teknologi pembaikan moden serta disokong tenaga kerja profesional terlatih.
"Kemudahan baharu ini menyokong operasi pelbagai jenama EON, termasuk Proton, Mitsubishi, Audi dan kenderaan elektrik (EV) Smart, dengan model Proton e.MAS pula dijangka dapat menyertai portfolio perkhidmatan berkenaan tidak lama lagi," kata kumpulan tersebut.


Ketua Pegawai Eksekutif EON, Akkbar Danial berkata, hubungan syarikat dengan pelanggan tidak berakhir selepas kenderaan diserahkan, sebaliknya perlu diteruskan melalui perkhidmatan selepas jualan yang mampu membina kepercayaan dan memberikan nilai tambah.
Ujar beliau lagi, hab berkenaan beroperasi mengikut prosedur dan proses ketat kumpulan tersebut bagi memastikan segala perkhidmatan pembaikan dilaksanakan secara berkualiti tinggi serta cukup menyeluruh kepada setiap pelanggan yang datang untuk berurusan.
Hab itu turut menerima tuntutan pembaikan akibat kemalangan daripada semua syarikat insurans di Malaysia, sekali gus memberikan lebih banyak kemudahan tambahan bersepadu kepada pemilik kenderaan untuk mendapatkan perkhidmatan pembaikan dan pemulihan.
"EON juga sedang berusaha meneroka peluang baharu untuk memperluaskan rangkaian hab pembaikan dan pengecatan ini ke beberapa lagi lokasi strategik lain, terutama kawasan yang mempunyai kehadiran kukuh dengan jenama-jenama di bawah kumpulan," jelas Akkbar.


Perancangan tersebut ujar beliau, bertujuan meningkatkan lagi akses pelanggan kepada perkhidmatan selepas jualan, di samping memanfaatkan rangkaian yang sedia ada untuk menyokong keperluan pemilik kenderaan daripada pelbagai jenama di pasaran negara ini.
Pembukaan hab berkenaan katanya, turut mencerminkan usaha serius EON sendiri memperkukuh ekosistem selepas jualan melalui rumusan penjagaan kenderaan yang lebih mudah diakses, boleh dipercayai dan perkhidmatan berorientasikan pelanggan.
EON, merupakan anak syarikat milik penuh DRB-HICOM Berhad, diperbadankan pada 1984 sebagai pengedar bagi projek kereta nasional pertama Malaysia, Proton, dan sudah lama mengembangkan perniagaannya kukuh menerusi strategi pelbagai jenama.
Dengan pengalaman lebih empat dekad dalam industri automotif Malaysia, EON kini meneruskan transformasi sebagai rakan mobiliti pelbagai jenama, dengan pengukuhan perkhidmatan selepas jualan menjadi antara tumpuan untuk meningkatkan pengalaman pemilikan kenderaan pelanggan. - DagangNews.com






