Episod dramatik Mauro Persic sesat di Gunung Kinabalu

4 Oct 2026 • 9:45 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Episod dramatik Mauro Persic sesat di Gunung Kinabalu

BAK ceritera layar perak Hollywood, Fall 2 yang menceritakan tentang Jax dan Luce sanggup menceroboh serta melalui laluan tidak rasmi tanpa permit sah untuk mendaki gunung tidak ubah seperti kisah hidup pendaki kelahiran Croatia, Mauro Persic.

Kisahnya hangat diperkatakan baru-baru ini apabila operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang mengambil masa selama lima hari berturut-turut sebelum berjaya membawa Persic pulang dengan selamat setelah tersesat ketika melakukan pendakian solo secara tidak sah di Gunung Kinabalu, Sabah pada 31 Ogos lalu.

Segala yang dilalui sepanjang keseluruhan sembilan hari di ‘gunung suci’ itu dirakam dan dikongsikan di media sosialnya sehingga mencuri perhatian ramai.

Persic mengakui tindakan menceroboh laluan haram adalah keputusan terburu-buru semata-mata untuk melihat keindahan alam, tanpa memikirkan kesan buruk kemudian hari.

Baginya, gunung itu miliki formasi granit yang cantik, pokok-pokok yang menakjubkan, puncak-puncak berkabus tidak bernama dan hutan tropika subur. Dia ibaratkan keindahan panoramanya dengan lukisan cat air Cina.

Akibat tragedi itu, dia telah mengalami calar-balar, lebam, hiperventilasi, berdarah di kepala yang dia sendiri tidak sanggup untuk tahu dan sakit di tumit, betis, rusuk dan bahu serta melalui pelbagai saat getir dua kali terjatuh ke dalam lurah, dehidrasi, dibanjiri air dan berhalusinasi.

Dalam tempoh itu, dia makan dan minum daripada sisa bekalan dibawa.

“Aki Nabalu, gunung suci tempat roh-roh bersemadi selepas mati, saya juga nyaris menyertai. Dua kali,” ungkapnya di Instagram.

Persic bersyukur dan berterima kasih dengan tindakan pantas anggota penyelamat dan warga setempat sekali gus memohon maaf secara terbuka.

“Antara yang paling memberi kesan kepada saya ialah seorang porter berusia 15 tahun. Ketika remaja itu mengusung saya menuruni gunung, saya dapat merasai setiap hentakan kaki dan lutut porter tersebut.

“Pengalaman ini tidak membuatkan saya menyimpan pahit, sebaliknya mengukuhkan lagi kepercayaan saya terhadap sifat belas kasihan manusia,” katanya yang telah dikenakan kompaun maksimum sebanyak RM25,000 kerana menceroboh Gunung Kinabalu.

Image from: Episod dramatik Mauro Persic sesat di Gunung Kinabalu
Video yang dikongsikan bagaimana dia ‘tersekat’ di laluan sempit dengan air mengalir deras.

Kongsi Persic di Facebook, kisahnya bermula dengan menelusuri sepanjang Sungai Mesilau yang terletak di kaki gunung dan beranggapan akan menjadi laluan paling mudah untuk ke puncak tanpa perlu meredah hutan.

Tiba-tiba aliran sungai mengalir antara dua permukaan batu yang condong menjadikannya terlalu licin dan sukar untuk dilalui. Disebabkan itu, dia membelok ke kanan dan menuju cerun curam yang dipenuhi rumput serta semak selain pergerakan menjadi sangat perlahan selepas itu.

Meskipun perlu meredah hutan, melalui kawasan cerun dan bermalam di lokasi yang tidak diketahui, Persic tetap membulatkan hati untuk meneruskan pendakian tanpa berfikir untuk berpatah balik. Malam itu, di cerun gunung yang sangat curam, tidurnya di dalam gua kecil dan didatangi tikus.

Hari kedua dimulakan dengan menghabiskan seteguk air terakhir sebelum melakukan pendakian di kawasan curam. Tumbuhan liar menjadi ‘sahabat’ yang bukan sahaja membakar semangat, tetapi tempat untuk berpaut tatkala tenaga semakin habis dikerah.

Persic cenderung menggunakan pendekatan alami dengan bergantung kepada gerak hati dalam menentukan laluan yang harus dipilih. Menakjubkan, dia tiba ke satu lembah luas diliputi hutan rimba asli yang menenangkan.

“Pada ketinggian 3,700 meter (m), tiada hembusan angin dan keadaan sangat tenang, Hanya bunyi lebah berdengung di antara pokok-pokok renek,” katanya.

Pendakian diteruskan pada hari ketiga dengan berdepan laluan berliku, batuan licin dan tebing curam yang pada bila-bila masa bersedia meragut nyawa tanpa belas kasihan.

Dia cuba menuruni tebing batu yang licin, namun kemudian bertembung jurang yang sangat dalam. Dia cuba mencari laluan lain. Dia melalui laluan turun yang sukar sehingga dirinya hanya mampu berpaut pada rumput.

Namun, dia kemudian tergelincir lalu berguling dan terjatuh ke dasar suatu lurah dalam sekelip mata sehingga menyebabkan kakinya terhentak kuat, namun masih mampu bergerak.

Terus berjalan, dalam kesakitan dia melihat suatu seperti haiwan.

“Tidak lama kemudian kedengaran jeritan bernada tinggi membuatkan bulu roma terus meremang. Bunyi itu kedengaran beberapa kali dan kedengaran seperti jeritan primat dari neraka dan disebabkan itu juga saya cepat-cepat cuba tinggalkan tempat itu,” katanya.

Image from: Episod dramatik Mauro Persic sesat di Gunung Kinabalu
Persic yang sudah tidak berdaya didukung pasukan keselamatan.

Harapan ke puncak diteruskan pada hari keempat. Kakinya makin sakit, namun meneruskan perjalanan sehingga berhenti seketika di satu kawasan tinggi yang memperlihatkan pemandangan Gunung Tambuyukon dari kejauhan. Dipercayai terletak kira-kira 12 kilometer ke utara dari Gunung Kinabalu, pemandangan itu membuatkan Persic berusaha mencari jalan ke lembah.

“Kemudian, saya melihat kambing liar yang sangat besar ada juga mengatakan ia rusa. Saya mendengar bunyi jeritan yang mengerikan itu sekali lagi.

“Selepas beberapa jam meredah batu, mendaki bongkah dan tergelincir, saya terpaksa berhenti dan berkhemah. Saya tak tahu di mana saya berada atau ke mana hala tuju seterusnya kerana jarak penglihatan amat terhad dek kabus,” katanya.

Pada hari kelima, Persic menggunakan kelengkapan untuk menentukan lokasi dan menyedari dia sudah jauh tersasar dari laluan selamat. Dengan berbaki makanan yang ada, dia meneruskan pendakian kawasan tebing pada ketinggian 4,000m.

Bagaimanapun ketika berada di permukaan batu yang sangat condong, cengkaman tangan menjadi lemah dan membuatkan dia terjatuh kira-kira 10 meter ke dalam lurah.

Mengalami kecederaan serius, Persic cuba untuk menghubungi pasukan kecemasan, namun tiada isyarat. Dengan sedikit harapan dan bergerak sedikit akhirnya dia berjaya buat panggilan bantuan.

Usaha menghubungi pasukan kecemasan diteruskan pada hari keenam tetapi gagal kerana isyarat yang lemah. Namun, bagai pepatah habis gelap terbitlah terang, Persic menerima mesej daripada anggota penyelamat dan berkongsi lokasi dengan harapan agar mereka dapat sampai sebelum malam.

“Saya cukup sengsara dalam keadaan tumit berdarah. Lalat mula menghurung permukaan luka dan saya mula melihat ada ulat kecil muncul di celahan luka,” ujarnya.

Image from: Episod dramatik Mauro Persic sesat di Gunung Kinabalu
Foto-foto dirakamkannya yang dianggap jarang dikongsi orang turut mencuri perhatian.

Puncak kesengsaraan Persic pada hari ketujuh apabila keadaan hujan lebat dan air deras mengalir di celahan laluan bebatuan sehingga membuatkan barangannya hanyut. Dengan baki tenaga yang ada, Persic bertahan hidup di kawasan bergenang air itu sehingga air surut.

Dalam keadaan basah, Persic akui mengalami halusinasi bahawa dia sudah selamat dan berjalan ke kedai untuk membeli makanan.

“Pada hari kelapan Luis Jai Matuas menjadi wira saya dan merupakan manusia pertama saya lihat selepas lapan hari. Keadaan sangat sukar dan pasukan penyelamat menggunakan pengusung dan sistem tali untuk membawa saya naik ke dataran.

“Kemudian semakin ramai individu muncul untuk menyelamat, membantu dan mengusung keluar dari tempat itu membuatkan saya terharu. Malam itu akan kekal dalam ingatan saya selama-lamanya,” katanya.

Hari kesembilan, Persic dibawa ke Laban Rata. Meskipun cedera dia tetap meneruskan perjalanan dalam keadaan lemah. Begitu pun, Persic yang berusia 46 tahun tidak mampu lagi ‘control macho’ kerana tiada pilihan lain selain membiarkan orang mendukungnya untuk melanjutkan perjalanan turun.

Persic mengagumi rakyat Malaysia yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi seorang manusia asing sepertinya.

Namun, di sebalik segala terjadi, insiden ini juga telah mendedahkan sisi keindahan tersembunyi di Gunung Kinabalu yang selama ini jarang diketahui atau dikongsi.

“Jika tidak kerana kamu Mauro Persic, kami rakyat Sabah sendiri mungkin akan terus buta akan keindahan semula jadi Gunung Kinabalu sehingga kami mati. Semua foto anda mengagumkan!” tulis seorang netizen di ruangan komen.

The post Episod dramatik Mauro Persic sesat di Gunung Kinabalu appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved