
LIVERPOOL – Penyerang Perancis, Bradley Barcola melengkapkan perpindahan sensasi ke Liverpool dengan satu misi jelas untuk kembali membantu The Reds merampas trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Sebagai rekod, pemain berusia 23 tahun itu menyertai Liverpool daripada Paris Saint-Germain (PSG) dengan nilai asas sekitar £106 juta (RM590 juta), selain tambahan £17 juta (RM95 juta) berdasarkan prestasi.
Nilai keseluruhan itu menjadikan Barcola pemain kedua termahal dalam sejarah Liverpool selepas Alexander Isak yang dibeli daripada Newcastle United dengan harga £125 juta (RM696 juta) tahun lalu.
Barcola mengakui cukup teruja selepas secara rasmi bergelar pemain Liverpool dan berharap dapat mencapai impian menjulang trofi EPL di Anfield.
“Satu kebanggaan besar dapat bermain untuk Liverpool. Ia mengambil masa yang lama, tetapi hari ini saya benar-benar gembira dapat mewakili pasukan dan apa yang saya mahukan hanyalah beraksi di atas padang Anfield.
“Salah satu sasaran utama saya adalah untuk memenangi EPL dan harap dapat kekal bersama pasukan ini untuk tempoh yang lama,” katanya.
Barcola yang membuat 152 penampilan bersama PSG dan menjuarai Liga Juara-Juara (UCL) dua musim berturut-turut percaya Anfield memiliki aura yang berbeza. – AGENSI
The post EPL: Barcola pemain kedua termahal Liverpool appeared first on Kosmo Digital.



