
LONDON – Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dilapor memberi amaran kepada Perdana Menteri United Kingdom, Andy Burnham bahawa mereka akan menarik keluar pelaburan bernilai berbilion-bilion pound sekiranya keputusan bersalah Manchester City ekoran pelanggaran peraturan kewangan dikekalkan.
Pada 25 September lalu, City telah didapati bersalah 114 daripada 115 pertuduhan yang dikenakan oleh Liga Perdana Inggeris selepas semakan dan siasatan dilakukan oleh sebuah suruhanjaya bebas.
Seperti yang dijangka, berita tersebut telah menggemparkan dunia bola sepak dan kini turut memberi kesan kepada hubungan politik antara UK dengan UAE, memandangkan pemilik City, Abu Dhabi United Group (ADUG) berasal dari negara Teluk tersebut.
Pemilik ADUG, Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahyan, kini merupakan Naib Presiden dan Timbalan Perdana Menteri UAE, selain memegang jawatan sebagai menteri di Mahkamah Presiden serta merupakan anggota keluarga pemerintah Abu Dhabi.
Menurut laporan, UAE telah memberi amaran kepada Burnham, yang sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Datuk Bandar Greater Manchester, bahawa negara itu akan menarik keluar pelaburan bernilai berbilion-bilion pound dari UK sebagai tindak balas terhadap keputusan terhadap City.
Perkara ini berlaku selepas Burnham dituduh terpaksa memuji pemilik City ketika ditanya oleh sama ada beliau bimbang pemilik City mungkin menjual kelab tersebut dalam satu temu bual bersama agensi berita di negara itu
“Saya sememangnya bimbang jika kehilangan mereka. Mereka telah menjadi rakan kongsi yang sangat besar dalam pembinaan Manchester moden, termasuk dalam menjadikan Manchester City sebagai sebuah kuasa bola sepak global.
“Saya fikir adalah salah untuk membuat kesimpulan sebelum benar-benar meneliti semua butirannya. Namun, jelas bahawa proses ini masih berjalan dan adalah wajar untuk saya tidak berkata banyak lagi mengenainya,” katanya.
Beberapa anggota Parti Konservatif mengutuk kenyataan Burnham dan menyifatkannya sebagai tidak peka terhadap keadaan. – AGENSI
The post EPL: UAE ugut UK demi bela Man. City appeared first on Kosmo Online.




