
LONDON – Manchester United terus dihimpit kemarau kemenangan selepas sekadar seri 1-1 dengan Leeds United pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Elland Road, sebentar tadi.
Walaupun mampu mengelak daripada kekalahan, keputusan itu langsung tidak banyak membantu untuk mengurangkan tekanan yang sedang menghimpit pengurus pasukan, Michael Carrick ketika ini.
Daripada sembilan perlawanan terakhir dalam semua pertandingan, The Red Devils hanya mampu meraih dua kemenangan, masing-masing ketika tewaskan Ipswich Town ketika aksi Liga Perdana Inggeris, 30 Ogos lalu dan kalahkan Sabah FK di pentas Liga Juara-Juara, 11 September lalu.
Tumpuan turut terarah kepada pertahanan, Lisandro Martinez yang mengeluarkan kenyataan pedas buat pasukan, namun masih mendapat kepercayaan Carrick apabila disenaraikan dalam kesebelasan utama.
Selepas mempersiakan beberapa peluang terbaik, Manchester United akhirnya berada di depan pada minit ke-35 hasil ledakan Bryan Mbeumo, sekali gus menutup aksi di babak pertama dengan kedudukan 1-0.
Bagaimanapun, tuan rumah menyambung aksi dengan lebih baik apabila hanya memerlukan enam minit untuk menghasilkan gol penyamaan menerusi Dominic Calvert-Lewin.
Gol itu menyemarakkan kebangkitan tuan rumah yang terus menguasai permainan hingga menyaksikan aksi The Red Devils tertumpu kepada serangan balas.
Walaupun Carrick dilihat terus memperkuatkan jentera serangan dengan memasukkan Mason Mount dan Matheus Cunha, usaha yang diatur masih gagal untuk membuahkan hasil sekali gus terpaksa berpuas hati meraih satu mata. – AGENSI
The post EPL: United terus merana, Carrick makin tertekan appeared first on Kosmo Online.






