EPMS meterai perjanjian strategik tiga hala teroka sektor minyak dan gas di perairan Sabah

LocalBusiness & Finance
20 May 2025 • 1:04 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

EPMS meterai perjanjian strategik tiga hala teroka sektor minyak dan gas di perairan Sabah

image is not available

20/05/2025 - 13:04

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 20 Mei – Eastern Pacific Marine Services Sdn Bhd (EPMS), memeterai perjanjian kerjasama strategik tiga hala dengan Sinopec Heavy Lifting and Transportation Co Ltd dan Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB) dalam sektor minyak dan gas di perairan Sabah.

Kerjasama itu menggabungkan kepakaran teknikal, keupayaan operasi, dan pengetahuan tempatan untuk menyokong pelaksanaan projek penyahtauliahan fasiliti luar pesisir.

Perjanjian dimeterai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr Ts Muhtar Suhaili, Pengerusi Eksekutif ICSB, Datuk Jasnih Daya dan Pengurus Besar Sinopec SLT (Thailand), Liu Han.

Jasnih merakamkan penghargaan atas kepercayaan rakan kerjasama terhadap keupayaan ICSB yang memiliki 30% kepentingan dalam projek tersebut.

Sementara itu, Muhtar berkata, kerjasama itu sejajar dengan fokus negara terhadap projek tenaga berdaya saing, khususnya dalam perkhidmatan EPRR bagi penyahtauliahan fasiliti luar pesisir.

"Kerjasama ini mencerminkan kesepakatan semua pihak dalam menyokong peralihan tenaga dan pembangunan mampan, selain memberi tumpuan kepada pembangunan bakat tempatan.

"Kekuatan ICSB dalam pengetahuan serantau, kapasiti global Sinopec SLT dan pengalaman EPIC dalam perkhidmatan marin serta pelupusan darat memberi kelebihan dalam memenuhi keperluan projek tenaga luar pesisir," katanya dalam satu kenyataan.

Naib Presiden Sinopec SLT, Guo Zhong berkata, penyahtauliahan platform luar pesisir adalah langkah penting ke arah tenaga lestari global dan menjadi penanda aras amalan terbaik industri.

"Kami komited terhadap keselamatan operasi, kecekapan pelaksanaan dan kelestarian alam sekitar.

"Prinsip manfaat bersama dan kejayaan dikongsi menjadi asas kerjasama kami di Malaysia," katanya.

Majlis menandatangani perjanjian itu berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) dan turut dihadiri Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Gulamhaidar Yusof Khan Bahadar, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Datuk Burhanuddin Hilmi Mohamed Harun, serta Naib Presiden Sinopec SLT, Guo Zhong.

Kerjasama itu juga membuka peluang kepada pemindahan pengetahuan, pembangunan kandungan tempatan dan inovasi dalam bidang kejuruteraan marin, sekali gus menyokong pertumbuhan sosioekonomi serantau secara berterusan.- DagangNews.com

standard