Erma Fatima mohon bakal menantu hormati syarat, tak izin anak keluar berdua sebelum nikah – 'Hak saya sebagai ibu belum selesai'

Family & ParentingLifestyle
20 Jul 2026 • 11:01 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Erma Fatima mohon bakal menantu hormati syarat, tak izin anak keluar berdua sebelum nikah – 'Hak saya sebagai ibu belum selesai'

BAGI  seorang ibu, melepaskan anak perempuan ke fasa alam rumah tangga sememangnya bukan satu perkara yang mudah, apatah lagi mahu memastikan benteng agama dan maruah diri sentiasa terpelihara. 

Situasi inilah yang dikongsi oleh pengarah dan penerbit terkenal, Erma Fatima, yang mencuri perhatian ramai apabila tegas meletakkan syarat ketat mengenai batas pergaulan anak perempuannya, Norain Sofea, yang baharu sahaja mengikat tali pertunangan dengan pemuda pilihan hati bernama Haziq. 

Menerusi satu potongan video yang dimuat naik oleh adiknya, Datin Seri Umie Aida, Erma dengan penuh emosi namun tegas mengingatkan bahawa status bertunang sama sekali bukan 'lampu hijau' untuk pasangan muda itu bebas keluar berdua-duaan tanpa mahram.

Pemilik nama sebenar Fatimah Rahmad Ali yang kini berusia 58 tahun itu mengakui, tindakan mengawal ketat pergerakan anak sulungnya itu mungkin kelihatan keterlaluan pada mata orang luar, namun ia adalah bukti kasih sayang seorang ibu yang mahu menjaga syariat agama. 

Image from: Erma Fatima mohon bakal menantu hormati syarat, tak izin anak keluar berdua sebelum nikah – 'Hak saya sebagai ibu belum selesai'

"Minta ampun sangat kerana bukan mudah untuk menjaga seorang anak perempuan dan itulah yang saya usahakan untuk Ain.

"Saya tahu mungkin satu penyiksaan buat dia juga apabila dia terlalu dikawal oleh saya," ujarnya.

Sambil menahan sebak, Erma secara terbuka memohon pengertian daripada menantu masa depannya itu untuk menghormati keputusannya demi memastikan keberkatan hubungan yang dibina kekal sehingga ke jinjang pelamin.

"Saya mohon daripada Haziq agar berilah peluang untuk saya merasa dan menikmati hak  sebagai seorang ibu.

"Sehingga ke hari pernikahan itu yang mana saya masih tidak merelakan atau mengizinkan anak saya berdua keluar selagi belum dihalalkan," luah Erma yang jelas mengharapkan kefahaman daripada kedua-dua belah pihak.

Adat tidak boleh atasi hukum agama

Walaupun menyedari cabaran zaman sekarang, terutamanya apabila pasangan tersebut kini sedang mengusahakan perniagaan bersama, Erma tetap dengan pendiriannya bahawa adat tidak boleh mengatasi hukum agama. 

Beliau mahu anak dan bakal menantunya itu sedar bahawa ikatan pertunangan hanyalah sekadar fasa awal dalam adat Melayu dan bukannya lesen untuk mereka menghalalkan cara dalam pergaulan harian. 

Bagi Erma, selagi akad nikah belum dilafazkan, tanggungjawab menjaga batas itu kekal menjadi keutamaan yang paling besar dalam hidupnya.

Image from: Erma Fatima mohon bakal menantu hormati syarat, tak izin anak keluar berdua sebelum nikah – 'Hak saya sebagai ibu belum selesai'

"Jadi mama harap Haziq faham dan apatah lagi sekarang dah ada bisnes bersama-sama mungkin ada laluan untuk bersama-sama tetapi tolonglah jaga batasnya kerana sekali lagi saya ingatkan ini hanya pertunangan mengikut adat belum lagi halal dari segi hukum. 

"Sehingga ke hari ini, seusia ini, saya masih belum mengizinkan dia untuk tidur di rumah sesiapa pun mahupun keluar bersama Haziq berdua sahaja. Itu mama rasa Haziq tahu. 

Image from: Erma Fatima mohon bakal menantu hormati syarat, tak izin anak keluar berdua sebelum nikah – 'Hak saya sebagai ibu belum selesai'

"Dan mama minta Haziq dan Ain sedar bahawa ini hanya pertunangan sebagai syarat dalam adat. Dia belum lagi menghalalkan hukum. Sepenuhnya masih lagi Ain berada di dalam jagaan saya dan hak saya. 

"Saya minta agar Haziq dan Ain juga untuk menjaga batas bukan bermakna pertunangan ini boleh menghalalkan untuk keluar bersama-sama tanpa batas," katanya lagi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved