Exco: Empat menara telekomunikasi 4G baharu di Pelangai beroperasi hujung tahun ini

4 Oct 2023 • 6:42 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

BENTONG: Empat menara telekomunikasi 4G baharu dijangka mula beroperasi menjelang hujung tahun ini bagi memberi capaian Internet yang lebih baik di seluruh kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang Fadzli Mohamad Kamal berkata ketika ini, satu menara sudah siap dibina dan tiga lagi masih dalam pembinaan.

Beliau berkata menara yang telah siap dibina akan ke fasa kedua untuk diserahkan kepada syarikat telekomunikasi bagi dilengkapkan dengan gentian optik dan peralatan elektronik sebelum diaktifkan dengan 4G.

“Ketika ini, menara yang dah siap itu sahaja kita guna gentian optik dan selebihnya tiga lagi saya minta gunakan gelombang mikro, kita nak pastikan keempat-empatnya akan berupaya beroperasi menjelang akhir tahun ini demi manfaat rakyat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Orang Asli Sungai Bot di sini.

Dengan capaian Internet yang lebih baik di Pelangai, Fadzli berharap lebih banyak Pusat Ekonomi Digital (PEDi) dapat diwujudkan di kawasan itu bagi memberi peluang penduduk menjana ekonomi digital.

Menurutnya pada masa ini, hanya terdapat satu PEDi di DUN Pelangai iaitu di Simpang Pelangai yang dilihat tidak berupaya menampung keperluan setempat.

Justeru, Fadzli berkata beliau telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menambah sekurang-kurangnya dua lagi PEDi di DUN itu.

“PEDi ini penting untuk membantu masyarakat di sini, ramai tidak tahu selain kemudahan Internet, PEDi juga ada sediakan kursus dan program tertentu contohnya untuk usahawan dalam talian, mereka ajar buat poster, buat urus perniagaan, infografik dan banyak lagi kursus yang diajar dan bermanfaat kepada orang ramai,” katanya. -Bernama