Exco Negeri Sembilan baharu angkat sumpah esok

LocalPolitics
26 Nov 2026 • 8:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Exco Negeri Sembilan

SEREMBAN: Kemelut kedudukan Menteri Besar Negeri Sembilan dijangka berakhir apabila Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dijadual berlangsung di Balairong, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, esok.

Perkara itu disahkan menerusi jemputan rasmi pihak istana kepada pengamal media bagi membuat liputan istiadat berkenaan yang dijadual berlangsung pada pukul 9 pagi.

Istiadat itu dijangka menyaksikan pelantikan barisan exco baharu dalam pentadbiran kerajaan negeri, sekali gus memberi petunjuk kepada perkembangan terbaharu kemelut politik yang melanda negeri ini.

Sementara itu, sumber memaklumkan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim akan kekal menyandang jawatan berkenaan manakala exco baharu bakal mengangkat sumpah esok.

“Rasanya EXCO hari itu. Iaitu (antaranya) ADUN Repah, Jeram Padang, Kota, Senaling, Bagan Pinang dan Gemas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan antara nama yang disenaraikan untuk menganggotai barisan exco baharu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah, S. Leza Md. Yasin; ADUN Senaling, Mohamad Qayyum Abd. Jalil; ADUN Jeram Padang, Datuk Mohd. Zaidy Abdul Kadir dan ADUN Seri Menanti, Muhammad Sufian Maradzi.

Selain itu, ADUN Repah daripada MCA, Koh Kim Swee dan ADUN Gemas mewakili Wawasan, Ridzuan Ahmad.

Terdahulu, Ismail bersama beberapa pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap, di sini, petang tadi.

Antara yang hadir ialah Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang tiba kira-kira pukul 3 petang.

Turut hadir Timbalan Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang tiba kira-kira pukul 2.45 petang, diikuti Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga Ketua Penerangan UMNO. – UTUSAN

The post Exco Negeri Sembilan baharu angkat sumpah esok appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved