
SEREMBAN - Istana Negeri Sembilan akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung penyelesaian kemelut politik negeri itu susulan pertemuan antara kepimpinan UMNO dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, di Istana Hinggap, di sini, hari ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kenyataan berkenaan akan memuktamadkan keputusan yang dicapai secara bersama dalam pertemuan tersebut.
Menurut beliau, perbincangan berlangsung dalam suasana tenang, dengan semua pihak bersetuju menyerahkan kepada pihak Istana untuk memaklumkan hasil pertemuan berkenaan.
“Biarlah kenyataan daripada Istana menjadi keputusan muktamad berhubung persetujuan yang telah kita capai bersama,” katanya selepas menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap, hari ini.
Beliau turut memaklumkan, penyelesaian terhadap kemelut politik berkenaan dijangka diketahui dalam masa terdekat, namun tarikh dan waktu pengumuman bergantung sepenuhnya kepada perkenan pihak Istana.
Mengulas kemungkinan keputusan itu turut melibatkan pelantikan Menteri Besar baharu serta pembentukan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Ahmad Zahid meminta semua pihak menunggu kenyataan rasmi daripada Istana.
Turut menghadap Tuanku Muhriz ialah Timbalan Pengerusi BN merangkap Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said; serta Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. - Getaran, 26 November 2026






