KDNK Malaysia suku kedua dijangka capai 5.8 peratus

Business & Finance
11 Aug 2026 • 6:22 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: KDNK Malaysia suku kedua dijangka capai 5.8 peratus

PETALING JAYA: Pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku kedua 2026 yang bakal diumumkan Jumaat ini dijangka positif mencapai 5.8 peratus, disokong prestasi eksport, penggunaan domestik dan pelaburan swasta yang terus kukuh.

Kadar tersebut adalah sama seperti anggaran awal yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bulan lalu dan lebih tinggi berbanding 5.4 peratus yang dicapai pada suku pertama.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, berdasarkan data sedia ada, ekonomi Malaysia masih bergerak aktif dengan permintaan luaran dijangka menjadi antara pemacu utama pertumbuhan.

“Pertumbuhan eksport melonjak 42.4 peratus pada suku kedua, manakala import turut meningkat tinggi sebanyak 25.4 peratus.

“Perkara ini menyebabkan lebihan imbangan dagangan meningkat kepada RM84 bilion pada suku kedua berbanding RM63.2 bilion yang dicatatkan pada suku pertama tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, pasaran buruh negara juga kekal stabil meskipun kadar pengangguran meningkat sedikit kepada tiga peratus pada April dan Mei berbanding 2.9 peratus pada suku pertama 2026.

Menurutnya, kadar pengangguran pada paras itu masih mencerminkan keadaan guna tenaga penuh dan dijangka membantu mengekalkan kestabilan pendapatan pekerja, sekali gus menyokong perbelanjaan domestik.

“Perkara ini dapat dilihat menerusi pertumbuhan sektor perdagangan runcit yang meningkat 7.2 peratus pada Mei berbanding 6.3 peratus pada April lalu.

“Pelaburan swasta juga dijangka terus menyokong pertumbuhan ekonomi pada suku kedua, susulan jumlah pelaburan yang diluluskan kekal kukuh pada RM92.8 bilion pada suku pertama 2026,” ujarnya.

Mohd Afzanizam berkata, berdasarkan maklumat daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), 85 peratus daripada pelaburan yang telah diluluskan telah mencapai pelbagai fasa perlaksanaan antara 2021 sehingga Februari 2026.

“Ini seperti fasa pengeluaran sehingga kepada proses pembinaan kilang serta pemasangan mesin-mesin.

“Justeru, pertumbuhan ekonomi pada suku kedua dijangka berada di paras 5.8 peratus. Ini merupakan suatu yang baik bagi ekonomi negara kerana ia menandakan banyak peluang-peluang perniagaan dan peluang pekerjaan yang boleh direbut oleh rakyat Malaysia,” jelasnya. – UTUSAN

The post KDNK Malaysia suku kedua dijangka capai 5.8 peratus appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved