
KUALA LUMPUR: Gading Kencana menyasarkan potensi pelaburan baharu berjumlah RM4.8 bilion menerusi pembangunan projek solar berskala besar dan pembekalan tenaga kepada pusat data.
Pengarah Urusan Gading Kencana, Datuk Dr. Ir. Muhamad Guntur Tobeng berkata, peluang itu merangkumi projek solar berkapasiti 100 megawatt (MW) menerusi tender Solar Skala Besar (LSS6) yang dianggarkan memerlukan pelaburan RM800 juta, serta pembekalan tenaga kepada pusat data berkapasiti sehingga 600MW dengan anggaran pelaburan RM4 bilion.
“Kedua-dua peluang berkenaan merupakan sebahagian daripada saluran projek (pipeline) Gading Kencana yang kini mencecah kira-kira 2,000MW.
“Selain itu, kami turut mengadakan perbincangan dengan pengendali pusat data bagi membekalkan tenaga solar berkapasiti sehingga 600MW yang berpotensi melibatkan pelaburan kira-kira RM4 bilion,” katanya selepas Majlis Pelancaran Rasmi Ladang Solar Gading Kencana di bawah CGPP di sini, baru-baru ini.
Mengulas mengenai projek solar di Bikam, Perak yang melibatkan pelaburan RM136 juta, beliau berkata, ladang solar itu dijangka menjana pendapatan kira-kira RM15 juta setahun daripada jualan tenaga elektrik.
“Jualan tenaga menerusi mekanisme New Enhanced Dispatch Arrangement (NEDA) menggunakan harga sistem marginal yang berubah mengikut tempoh setengah jam.
“Ia sekali gus berbeza daripada perjanjian pembelian tenaga konvensional yang menawarkan kadar tetap.
“Pada masa ini, harga sistem marginal agak tinggi berikutan peningkatan kos bahan api, membolehkan kami menjual tenaga elektrik pada anggaran RM0.26 setiap kilowatt jam (kWj) dan menjana pendapatan kira-kira RM15 juta setahun,” katanya.
Selain jualan tenaga elektrik kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB), Gading Kencana turut memperoleh hasil melalui penjualan atribut alam sekitar atau Sijil Tenaga Boleh Baharu (REC) kepada Intel Electronics (Malaysia) Sdn. Bhd. menerusi perjanjian selama 15 tahun.
Beliau berkata, model berkenaan membolehkan syarikat menjual tenaga elektrik dan atribut alam sekitar kepada pembeli berbeza, sekali gus membuka peluang kepada syarikat tempatan membangunkan projek tenaga boleh baharu tanpa bergantung kepada peruntukan kewangan kerajaan.
“Kerajaan hanya perlu menyediakan dasar yang jelas, lesen penjanaan elektrik serta peluang tender, manakala pembiayaan projek boleh diperoleh menerusi institusi perbankan dan sektor swasta.
“Selain itu, sokongan pembiayaan daripada Bank Islam penting bagi membolehkan syarikat merealisasikan projek dalam perancangan, khususnya yang melibatkan keperluan modal berskala besar,” ujarnya. – UTUSAN
The post Gading Kencana intai pelaburan RM4.8 bilion menerusi solar, pusat data appeared first on Utusan Malaysia.






