Eksport kukuh dorong semakan semula KDNK suku pertama - CIMB Securities

21/04/2025 - 11:56
Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 21 April - Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku pertama 2025 berkemungkinan disemak lebih tinggi susulan prestasi eksport bersih yang lebih baik pada Mac 2025, menurut CIMB Securities.
Firma penyelidikan itu memaklumkan, lebihan dagangan negara meningkat kepada RM24.7 bilion pada bulan lalu, iaitu paras tertinggi dalam tempoh 21 bulan.
Katanya, eksport turut mencatatkan peningkatan kukuh sebanyak 16.1 peratus bulan ke bulan dan 6.8 peratus tahun ke tahun, melepasi jangkaan pasaran yang menjangkakan pertumbuhan sederhana.
Ia disumbang oleh pemulihan dalam sektor perlombongan serta pertumbuhan berterusan dalam eksport barangan pembuatan.
"Melihat kepada prestasi eksport bersih yang menggalakkan, ada kemungkinan anggaran awal pertumbuhan KDNK suku pertama sebanyak 4.4 peratus akan disemak semula ke paras lebih tinggi," menurut firma itu dalam satu nota kajian.
Data rasmi KDNK akan diumumkan pada 16 Mei 2025.
CIMB Securities menjelaskan, lonjakan eksport turut didorong oleh aktiviti penghantaran awal sebelum pengumuman Tarif Perdagangan Amerika Syarikat (AS) pada 2 April lalu.
Eksport Malaysia ke AS melonjak 50.8 peratus tahun ke tahun, peningkatan dua angka selama enam bulan berturut-turut dan yang tertinggi sejak Mei 2021.
Sehubungan itu, lebihan dagangan Malaysia dengan AS turut meningkat 62 peratus kepada RM27.9 bilion bagi suku pertama 2025.
"Lebihan ini dijangka terus melebar berikutan strategi penghantaran awal oleh syarikat AS yang mahu memanfaatkan tempoh kelonggaran tarif selama 90 hari, sementara rundingan tarif dan ketegangan perdagangan AS-China masih berlarutan.
"Situasi ini mungkin mewujudkan tekanan ke atas Malaysia untuk meningkatkan import dari AS, terutamanya menjelang lawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Menteri Kewangan II ke AS bagi memulakan rundingan tarif," tambahnya.
Sementara itu, import Malaysia mencatatkan penurunan mengejut sebanyak 2.8 peratus tahun ke tahun, dipengaruhi oleh penyusutan import barangan modal, barangan perantaraan, serta penurunan sederhana dalam barangan pengguna.
Menurut CIMB Securities, penurunan import barangan perantaraan menunjukkan sentimen perniagaan yang lebih berhati-hati disebabkan ketidaktentuan dasar perdagangan AS dan ketegangan tarif antara AS dan China.
"Walaupun pesanan awal dan perubahan aliran dagangan dapat menyokong pertumbuhan KDNK dalam jangka pendek, risiko pertumbuhan masih cenderung ke arah penurunan kerana ketidaktentuan ini menjejaskan perancangan pelaburan dan pengambilan pekerja.
"Oleh itu, kami kekalkan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia bagi tahun penuh pada kadar 4.0 peratus," katanya. - DagangNews.com
standard

