RHB Research positif prospek Gamuda didorong operasi global, sektor RE

21/04/2025 - 11:22
Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 21 April - RHB Investment Bank memberi amaran, kelewatan dalam memperoleh projek baharu berbanding jangkaan boleh menjadi risiko utama kepada momentum pendapatan Gamuda Bhd.
Namun begitu, ia kekal positif terhadap prospek jangka panjang syarikat itu, disokong oleh operasinya yang semakin kukuh di peringkat antarabangsa, penglibatan dalam tenaga boleh diperbaharui (RE) yang semakin meningkat, serta buku tempahan kerja yang sihat.
RHB Research menekankan penilaian menarik Gamuda, aliran pendapatan yang pelbagai dan keupayaan pelaksanaan projek yang terbukti sebagai antara sebab utama untuk pelabur terus yakin dengan syarikat berkenaan.
Gamuda, melalui rakan kongsinya DT Infrastructure, kini bekerjasama dengan Aula Energy untuk melaksanakan kerja awal bagi projek Ladang Angin Carmody's Hill di Australia Selatan.
"Projek ini akan melibatkan 42 turbin angin dengan kapasiti penjanaan sehingga 256 megawatt elektrik serta sistem simpanan tenaga bateri berkapasiti 118 megawatt," menurut RHB Research dalam nota kajiannya.
Ia menjangka projek tersebut akan mencapai tahap reka bentuk 30 peratus menjelang akhir tahun 2025 dan kerja pembinaan dijangka bermula awal 2026.
Jelasnya, projek berkenaan turut dilihat sebagai pemacu penting kepada strategi pengembangan antarabangsa Gamuda.
Selain itu, portfolio tenaga boleh diperbaharui Gamuda turut merangkumi kerja awal kontraktor bagi projek ladang angin Boulder Creek dengan kapasiti 228 megawatt, serta projek hidro pam Oven Mountain di New South Wales bernilai RM5.67 bilion.
"Melihat kepada skala projek Ladang Angin Carmody’s Hill, kami anggarkan nilai kerja awal sahaja mencecah sekurang-kurangnya RM47.25 juta," tambah RHB Research.
Ia juga menjangkakan pendapatan projek tempatan Gamuda akan meningkat daripada 29 peratus pada tahun kewangan 2025 kepada 60 peratus menjelang tahun kewangan 2027, didorong oleh projek pusat data, rel dan tenaga hidro.
Tiada perubahan dibuat terhadap unjuran pendapatan Gamuda ketika ini, kerana nilai kerja awal projek masih berada dalam jangkaan penambahan kerja sebanyak RM25 bilion untuk tahun kewangan 2025.
RHB mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Gamuda. - DagangNews.com
standard
