F1: Anwar jumpa Pengarah Eksekutif GP Singapura teliti amalan terbaik

5 Aug 2026 • 10:51 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: F1: Anwar jumpa Pengarah Eksekutif GP Singapura teliti amalan terbaik
Anwar mengadakan pertemuan dengan Pengarah Eksekutif GP Singapura, Michael Roche pada Rabu. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu mengadakan pertemuan dengan Pengarah Eksekutif Grand Prix (GP) Singapura, Michael Roche, menjelang penganjuran perlumbaan Formula 1 Gulf Air Bahrain GP di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Oktober depan.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata, pertemuan itu bagi meneliti pengalaman dan amalan terbaik republik itu, dalam memastikan penganjuran di SIC berlangsung dengan cemerlang.

Beliau berkata, penganjuran bertaraf dunia itu diyakini mampu membawa limpahan ekonomi yang besar, menerusi peningkatan sektor pelancongan, peluang pekerjaan, aktiviti perniagaan serta mengukuhkan keyakinan pelabur, sekali gus menyemarakkan Tahun Melawat Malaysia 2026.

"Insya-ALLAH, kita komited memastikan penganjuran ini bukan sahaja memenuhi piawaian antarabangsa, malah mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab sukan permotoran serantau, serta membawa manfaat yang meluas kepada rakyat dan ekonomi negara,” kata Anwar.

Formula 1 dan FIA sebelum ini mengumumkan GP Bahrain 2026 akan berlangsung di SIC dari 2 hingga 4 Oktober ini, menerusi kerjasama antara Malaysia dan Bahrain.

GP Bahrain pada asalnya dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Bahrain pada April, sebelum ditangguhkan ke bulan Oktober susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

SIC menjadi tuan rumah GP Malaysia dari tahun 1999 hingga 2017, sebelum perlumbaan itu digugurkan dari kalendar F1 susulan peningkatan kos penganjuran dan fi pelesenan. - Bernama

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved