F1 kembali ke Sepang, peluang lonjak ekonomi dan industri permotoran negara

27 Jul 2026 • 9:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

F1 kembali ke Sepang, peluang lonjak ekonomi dan industri permotoran negara

SHAH ALAM, 27 JULAI: Penganjuran Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Oktober depan berpotensi memberi manfaat kepada ekonomi negara, khususnya menerusi sektor pelancongan, perniagaan tempatan serta industri permotoran.

Penganalisis Sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata kepulangan perlumbaan berprestij itu juga perlu dimanfaatkan dengan perancangan strategik bagi memastikan impak yang diperoleh berterusan, termasuk dari aspek pulangan pelaburan (ROI) dan pembangunan ekosistem sukan permotoran negara.

Menurutnya, pengalaman penganjuran F1 sebelum ini boleh dijadikan rujukan untuk memperkukuh model pengurusan, termasuk memperluaskan kerjasama antara kerajaan dan sektor korporat.

Image from: F1 kembali ke Sepang, peluang lonjak ekonomi dan industri permotoran negara
Penganalisis Sukan Datuk Dr Pekan Ramli

“Ambil iktibar dan perlu ingat, kita perlu ada penanda aras kepada penganjuran ini. Kita perlu lihat pulangan pelaburan (ROI) serta impak jenama yang kita dapat dengan keberkesanan kos operasi yang kita keluarkan.

“Buat juga perbandingan dengan MotoGP. Kita harap juga ada modul kerjasama antara kerajaan dan korporat supaya penganjurannya dapat memberi manfaat maksimum kepada semua pihak,” katanya kepada Media Selangor.

Image from: F1 kembali ke Sepang, peluang lonjak ekonomi dan industri permotoran negara
Penonton yang hadir menyaksikan Grand Prix Malaysia 2024 di Litar Antarabangsa Petronas Sepang pada 3 November 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM /MEDIA SELANGOR

Beliau berkata, SIC mempunyai kelebihan dari segi pengalaman selepas menjadi tuan rumah perlumbaan F1 selama hampir dua dekad, sekali gus memberi keyakinan terhadap keupayaan Malaysia menganjurkan semula acara bertaraf dunia itu.

“Dalam pada yang singkat ini, kita perlu bekerja keras. Tetapi dari segi pengalaman kita mungkin tiada masalah. Hanya berkaitan pembabitan korporat sahaja kerana kita tidak boleh bergantung kepada dana kerajaan sahaja,” katanya.

Image from: F1 kembali ke Sepang, peluang lonjak ekonomi dan industri permotoran negara
Pemandangan perlumbaan Grand Prix Formula Satu (F1) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang, Sepang, pada 2 Oktober 2016. Foto REUTERS
Pekan berkata, kepulangan F1 juga perlu dilihat sebagai peluang untuk menghidupkan semula pembangunan industri permotoran negara, termasuk aspek teknologi, bakat tempatan dan kejuruteraan.

“Kita adalah pengeluar automotif tetapi kita tidak nampak sebelum ini kita gunakan untuk aspek peningkatan teknologi F1. Kita harap kali ini ia ada beri impak tersebut.

“Dari segi pembangunan bakat, pelumba, mekanik tempatan, kita harap ia dapat kembali semula. Sebelum ini kita ada pasukan Sauber Petronas. Kita tidak dapat lihat kesinambungannya sekarang,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata Malaysia berbesar hati menerima kepercayaan Kerajaan Bahrain dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) untuk menganjurkan perlumbaan berkenaan di SIC.

Perkembangan itu membolehkan GP Bahrain kekal dalam kalendar F1 musim 2026 selepas perlumbaan tersebut dibatalkan pada awal musim ini berikutan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Malaysia pernah menjadi tuan rumah F1 dari 1999 hingga 2017 sebelum kontrak penganjuran tamat lebih awal berikutan faktor kos penganjuran dan prestasi jualan tiket.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved