F1: Perebutan gelaran dunia buat Antonelli gementar

12 Sep 2026 • 10:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: F1: Perebutan gelaran dunia buat Antonelli gementar

MADRID – Kimi Antonelli enggan terlalu memikirkan soal peluangnya untuk merangkul gelaran dunia Formula Satu (F1) musim ini.

Pelumba Mercedes berusia 20 tahun itu mahu melupakan seketika kerana tidak mahu perkara itu mengganggu fokusnya ketika berada di litar.

Ketika ini, Antonelli berada di landasan untuk muncul juara dunia termuda dalam sejarah F1 selepas melakar kemenangan dramatik pada Grand Prix (GP) Itali di Monza, minggu lalu.

Antonelli mendahului rakan sepasukannya, George Russell dengan kelebihan 66 mata, manakala Lewis Hamilton ketinggalan 76 mata dan juara dunia musim lalu, Lando Norris, 96 mata di belakangnya dengan 10 perlumbaan masih berbaki.

“Masih jauh perjalanan dan saya tidak mahu memandu sambil memikirkan kejuaraan. Saya rasa Monza membuktikan saya tidak berlumba dengan memikirkan atau bimbang mengenai kejuaraan. Saya hanya berjuang untuk menang dan memberikan yang terbaik. Itulah cara pemikiran saya,” katanya.

Antonelli berkata, selepas ini mungkin dia perlu mengambil kira soal kedudukan kejuaraan, namun dia mahu mengelakkan perkara itu daripada mempengaruhi prestasinya.

“Perkara yang mahu saya elakkan ketika ini ialah memikirkan atau bimbang mengenai kejuaraan ketika sesi latihan bebas, kelayakan atau perlumbaan.  Itu yang mahu saya elakkan sama sekali. Saya mahu memberi tumpuan pada setip perlumbaan terlebih dahulu,” katanya.

Antonelli turut mengakui kejayaan yang diraih musim ini kadangkala membuatkannya sukar untuk kekal tenang, namun aktiviti bersama pasukan selepas kemenangan di Monza membantunya kembali berpijak di bumi nyata.

Pelumba Itali itu memilih untuk melihat tekanan sebagai sesuatu yang positif dan menganggapnya sebagai peluang untuk membuktikan kemampuan dalam persaingan merebut gelaran dunia.

“Saya melihat tekanan itu sebagai sesuatu yang positif dan menganggapnya sebagai peluang untuk menyerlah. Keadaan itu juga membantu saya kekal tenang ketika berdepan situasi sukar,” katanya. – AGENSI

The post F1: Perebutan gelaran dunia buat Antonelli gementar appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved