
SUNGAI PETANI: Kerja baik pulih dan penambahbaikan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan dilaksanakan mulai 7 September ini sebagai persediaan penganjuran Formula Satu (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, selain trek perlumbaan, proses itu turut melibatkan kemudahan lain termasuk tempat duduk penonton, tandas dan aspek berkaitan bagi memastikan imej Malaysia berada pada tahap terbaik di pentas dunia.
“Sekarang ini proses itu dalam peringkat akhir untuk dilaksanakan dan litar ini juga akan ditutup sepenuhnya daripada disewa orang ramai buat sementara waktu,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada Kelab Media Elit Kedah (KMEK), di sini hari ini.
Mohammed Taufiq berkata, tiga jawatankuasa sudah diwujudkan iaitu jawatankuasa induk, jawatankuasa teknikal dan jawatankuasa kecil yang merangkumi lapan hingga sembilan cabang bagi memastikan persiapan berjalan lancar.
Katanya, jawatankuasa teknikal turut mengadakan mesyuarat setiap Selasa sebelum hasil perbincangan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet.
“Setakat ini kita sudah memeterai perjanjian antara SIC dan Bahrain International Circuit, termasuk perkara berkaitan penjualan tiket, parkir dan beberapa aspek lain secara menyeluruh. Bahagian protokol, antarabangsa, imigresen serta semua agensi berkaitan juga sudah menyelaraskan gerak kerja supaya proses penganjuran lebih lancar,” katanya.
Tambahnya, kerajaan turut mahu memastikan penganjuran F1 memberi kesan limpahan ekonomi positif kepada rakyat Malaysia sepanjang tiga hari acara berkenaan bermula 2 hingga 4 Oktober depan.
Katanya, orang awam juga dicadang diberi peluang memasuki SIC sehari sebelum perlumbaan bagi merasai sendiri suasana di litar itu, sementara pelancaran sukarelawan F1 dijangka diadakan minggu depan.
Sementara itu, kementerian meletakkan kesihatan atlet sebagai keutamaan susulan jerebu yang semakin buruk ketika in berdasarkan garis panduan sedia ada sama ada situasi itu membahayakan atau tidak.
“Bagaimanapun, ia tidak menyekat persiapan dan latihan atlet khususnya bagi menghadapi temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN
The post F1: SIC ditutup mulai 7 September untuk baik pulih appeared first on Utusan Malaysia.






