Fadhlina dikurnia gelaran Datuk Seri

LocalPolitics
24 Aug 2026 • 11:55 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Fadhlina dikurnia gelaran Datuk Seri

MELAKA – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mendahului senarai 10 penerima Darjah Gemilang Seri Melaka (D.G.S.M.) yang membawa gelaran Datuk Seri pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka hari ini.

Turut menerima darjah kebesaran sama ialah Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Seri Abd. Halim Aman.

Penganugerahan itu diberikan sempena Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri Melaka ke-77, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam bertempat di Balai Istiadat Seri Negeri di sini.

Penerima D.G.S.M. turut melibatkan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dr. Muhamad Norazlan Aris, Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Hiliran Petronas, Datuk Seri Sazali Hamzah dan Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Seri Megat Zulkarnain Omardin.

Seramai 56 individu pula menerima Darjah Cemerlang Seri Melaka (D.C.S.M.) yang membawa gelaran Datuk Wira antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri Benut, Datuk Wira Mohd. Sumali Reduan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Wira M. Kumar Muthuvelu.

Selain itu, turut menerima darjah sama ialah Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Datuk Wira Ir Ts. Gs. Dr. Mohd. Azhar Abd. Hamid dan Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Dzulkhairi Mukhtar.

Seramai 14 penerima pula dianugerahkan Darjah Mulia Seri Melaka (D.M.S.M.) yang membawa gelaran Datuk termasuk Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Al Hambra Juhar, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk D. Suria Kumar dan Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Sani S. Omar.

Sementara itu, seramai 189 penerima menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M.) yang membawa gelaran Datuk termasuk penggiat seni tanah air, Ziana Zain atau nama sebenarnya, Siti Roziana Zain.

Dalam kategori lain, seramai lima individu ditauliahkan Jaksa Pendamai manakala 106 penerima menerima Darjah Seri Melaka (D.S.M.).

Turut dianugerahkan adalah Bintang Cemerlang Melaka (B.C.M.) kepada 151 penerima, Bintang Khidmat Terpuji kepada 244 penerima, Pingat Jasa Kebaktian (PJK) kepada 386 penerima, Pingat Bakti Masyarakat (PBM) kepada 161 penerima serta Pingat Khidmat Lama (PKL) kepada lima penerima.

Secara keseluruhannya, penganugerahan itu melibatkan seramai 1,328 penerima yang terdiri daripada anggota perkhidmatan awam negeri dan persekutuan, ahli politik, korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pengamal media serta badan sukarelawan. – KOSMO! ONLINE

The post Fadhlina dikurnia gelaran Datuk Seri appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved