Fadhlina tinjau persediaan sekolah hadapi banjir, pelaksanaan SPM turut diberi perhatian

LocalPolitics
30 Oct 2025 • 10:34 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

ALOR SETAR, 30 OKT: Kementerian Pendidikan (KPM) berusaha memastikan kesiapsiagaan sekolah menghadapi bencana berada pada tahap terbaik dengan aspek keselamatan murid, guru dan seluruh warga pendidikan terpelihara.

KPM dalam kenyataan hari ini, memaklumkan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek telah mengadakan sesi lawatan kerja sehari ke Kedah untuk meninjau persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dan kemungkinan banjir.

“Menteri Pendidikan telah mempengerusikan mesyuarat penyelarasan persediaan menghadapi MTL bersama-sama pengurusan tertinggi Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dan pegawai pendidikan daerah.

“Persediaan turut merangkumi keperluan melaksanakan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam situasi banjir,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Fadhlina turut meninjau persediaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Malik di sini yang akan dijadikan pusat penempatan calon SPM sewaktu banjir.

Beliau juga menziarahi mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Haji Idris, Pendang yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS), dengan sebanyak 128 mangsa ditempatkan di situ setakat petang tadi.

Dalam pada itu, Pengetua SMK Tunku Abdul Malik, Faridah Derani berkata asrama sekolah itu telah dikosongkan untuk memberi laluan kepada calon SPM terjejas banjir menginap sepanjang tempoh peperiksaan.

“Sebanyak 74 calon SPM dijangka terjejas banjir, selain sekolah ini juga akan menerima 45 calon tumpang dari SMK Alor Merah,” katanya semasa ditemui pemberita.

Faridah berkata sepanjang tempoh itu, pelajar tingkatan satu hingga empat sekolah itu menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

-- BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved