
PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menunjukkan perkembangan positif selepas berjaya menjalani pembedahan pintasan arteri koronari (CABG) atau pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN), kelmarin.
Lebih membanggakan, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berjaya melakukan senaman berbasikal sejauh 2.8 kilometer selepas menjalani pembedahan berkenaan.
IJN dalam kenyataan hari ini memaklumkan, aktiviti itu dilakukan pada 13 Ogos di bawah pengawasan pasukan klinikal IJN sebagai sebahagian daripada program pergerakan awal bagi membantu proses pemulihan beliau.
Selepas menyelesaikan kayuhan tersebut, Fadillah kemudiannya dipindahkan dari Unit Rawatan Rapi (ICU) ke wad biasa pada petang hari sama.
“Pihak kami berbesar hati dengan perkembangan Timbalan Perdana Menteri. Rawatan dan proses pemulihan beliau berjalan seperti dirancang, dan keadaannya terus bertambah baik seperti yang dijangkakan oleh pasukan perubatan,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, Fadillah dimasukkan ke IJN pada 28 Julai sebelum menjalani angiogram koronari pada 29 Julai.
Susulan perbincangan pasukan perubatan pelbagai disiplin, pembedahan pintasan arteri koronari diputuskan sebagai kaedah rawatan paling sesuai untuk beliau.
Dalam kenyataan sama, IJN berkata, pembedahan pintasan berganda ke atas Fadillah dilakukan pada 12 Ogos oleh Pakar Perunding Kanan Kardiotorasik IJN, Prof Datuk Seri Dr. Mohamed Ezani Md Taib dan Prof Datuk Seri Dr. Mohd Azhari Yakub, bersama Pegawai Klinikal Pembedahan Kardiotorasik dan Vaskular, Dr. Ahmad Mahir Shamsuddin.
Jelas IJN, pembedahan berkenaan dijalankan mengikut protokol Enhanced Recovery After Surgery (ERAS) IJN, iaitu pendekatan pelbagai disiplin bagi menyokong pergerakan awal pesakit, mengurangkan komplikasi serta menggalakkan pemulihan yang lebih selamat dan pantas.
Fadillah sebelum ini mendapat rawatan di bawah penjagaan Pakar Perunding Kardiologi Kanan, Datuk Dr. Shaiful Azmi Yahaya dan Datuk Seri Dr. Azmee Mohd Ghazi, dengan sokongan Pegawai Klinikal Kardiologi, Dr. Ow Jie Ken dan Dr Fa’iz Mashood.
Pasukan anestesia pula terdiri daripada Pakar Perunding Kanan Anestesiologi, Datuk Dr. Suneta Sulaiman, Pakar Perunding Anestesiologi, Dr. Norhayati Anuar dan Pegawai Klinikal Anestesiologi, D. Wazir Ahmad Haja Sahabudeen.
Sementara itu, Pejabat Timbalan Perdana Menteri itu menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan Fadillah dan keluarga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan perubatan IJN atas komitmen, kepakaran dan layanan profesional mereka sepanjang proses rawatan.
“Ucapan terima kasih yang tidak terhingga juga diucapkan kepada pihak kementerian, masjid-masjid, surau-surau, rumah ibadat, agensi kerajaan/swasta dan badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“(Termasuk juga) sanak-saudara, sahabat handai serta seluruh rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mendoakan kesembuhan dan memberikan sokongan kepada beliau,” menurut kenyataan berkenaan. – KOSMO! ONLINE
The post Fadillah selesai pembedahan pintasan jantung, berjaya berbasikal 2.8km appeared first on Kosmo Digital.






