SHAH ALAM - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof terus menunjukkan perkembangan positif selepas menjalani prosedur pembedahan pintasan arteri koronari (CABG) di Institut Jantung Negara (IJN) pada Rabu lepas.
Menurut IJN, Fadillah dimasukkan ke IJN pada 28 Julai lalu di bawah kendalian Pakar Perunding Kardiologi Kanan, Datuk Dr Shaiful Azmi Yahaya dan Datuk Sri Dr Azmee Mohd Ghazi, dengan sokongan Felo Klinikal Kardiologi, Dr Ow Jie Ken dan Dr Fa’iz Mashood.
"Beliau menjalani angiogram koronari sehari kemudian sebelum pasukan multidisiplin perubatan menentukan pembedahan pintasan jantung sebagai rawatan paling sesuai.
"Pembedahan dilaksanakan menggunakan protokol Enhanced Recovery After Surgery (ERAS), iaitu pendekatan multidisiplin yang menyokong mobilisasi awal, mengurangkan komplikasi dan membantu proses pemulihan lebih selamat dan pantas," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, pembedahan dilakukan Pakar Perunding Kanan Bedah Kardiotorasik IJN,Profesor Datuk Sri Dr Mohamed Ezani Md Taib dan Profesor Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub bersama Felo Klinikal Pembedahan Kardiotorasik dan Vaskular, Dr Ahmad Mahir Shamsuddin.
Pasukan anestesia terdiri daripada Pakar Perunding Kanan Anestesiologi, Datuk Dr Suneta Sulaiman; Pakar Perunding Anestesiologi, Dr Norhayati Anuar; dan Felo Klinikal Anestesiologi, Dr Wazir Ahmad Haja Sahabudeen.
Sementara itu, Dr Mohamed Ezani Md Taib yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN memaklumkan, pihaknya berbesar hati melihat perkembangan positif Fadillah.
“Rawatan dan proses pemulihan beliau berjalan seperti dirancang, manakala keadaannya terus bertambah baik seperti yang dijangkakan oleh pasukan perubatan,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada program mobilisasi awal pada 13 Ogos, Fadillah berjaya melakukan senaman berbasikal sejauh 2.8 kilometer di bawah pengawasan pasukan klinikal IJN.
Beliau kemudiannya dipindahkan dari Unit Rawatan Rapi (ICU) ke wad biasa pada petang hari sama, dan kini meneruskan proses pemulihan serta rehabilitasi jantung selepas pembedahan CABG.






