Fahaman NAM ajaran ke-18 diwarta sesat di Sabah

24 Oct 2026 • 4:33 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Fahaman NAM ajaran ke-18 diwarta sesat di Sabah

Kota Kinabalu: Fahaman New Age Movement (NAM) yang diputuskan sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam oleh Majlis Fatwa Negeri Sabah baru-baru ini menjadi ajaran ke-18 yang diwartakan sesat di negeri ini.

Exco Agama Islam Negeri Sabah Datuk Ariffin Arif (gambar) berkata setakat ini sebanyak 17 ajaran sesat telah dikenal pasti manakala NAM merupakan ajaran terbaharu yang diputuskan menyeleweng dan pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut daripada Pejabat Mufti Negeri Sabah berhubung perkembangan itu.

Bagaimanapun katanya, perkara lebih penting bukan sekadar jumlah ajaran sesat yang dikenal pasti sebaliknya usaha meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam.

“Apabila kita ragu-ragu terhadap mana-mana ajaran yang datang kepada kita, jangan teragak-agak untuk merujuk terus kepada pihak berwibawa seperti Majlis Ugama Islam Sabah (Muis), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) dan Pejabat Mufti.

“Pada masa sama, orang ramai harus menyemak latar belakang individu yang datang menyampaikan dakwah atau mengaku sebagai aktivis agama sebelum menerima ajaran mereka,” katanya ketika selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Van Jenazah Sumbangan Muis, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan Majlis Fatwa Negeri Sabah yang memutuskan NAM menyeleweng daripada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Mufti Sabah Datuk Bongsu @Aziz Jaafar sebelum ini memaklumkan keputusan itu dibuat menerusi persidangan Majlis Fatwa Negeri Sabah Bilangan 3 Tahun 2026 yang mendapati beberapa elemen seperti Konsep Kuantum dalam Ilmu Tauhid, monisme dan Law of Attraction dalam modul motivasi NAM, didapati menyeleweng dan mencemari disiplin ilmu Islam.

Ariffin yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata penentuan sesuatu ajaran sebagai sesat atau menyeleweng tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya, sebaliknya perlu berdasarkan keputusan pihak berkuasa agama negeri.

Sehubungan itu katanya, orang ramai harus merujuk Muis, Jheains dan Pejabat Mufti bagi mendapatkan pengesahan mengenai status sesuatu ajaran sebelum menerima atau menyebarkannya.

“Langkah ini penting bagi memastikan masyarakat tidak terkeliru dengan pelbagai fahaman yang menggunakan nama agama, selain membendung penyebaran ajaran yang bertentangan dengan ajaran Islam.

“Penguatkuasaan tauliah mengajar agama Islam turut menjadi langkah penting bagi membendung penyebaran ajaran menyeleweng di Sabah.

“Mana-mana pendakwah dari luar atau individu yang ingin menyampaikan ajaran Islam perlu mendapatkan tauliah daripada Jheains, termasuk menjalani temuduga oleh Pejabat Mufti Negeri Sabah, sebelum dibenarkan berdakwah,” tegasnya.   

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved