Fahrin pilih Masjid Sri Sendayan buat sujud syukur

19 Aug 2026 • 7:15 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Fahrin pilih Masjid Sri Sendayan buat sujud syukur

SERDANG: Pelari Terengganu, Muhammad Fahrin Aiman Yusmizan merancang untuk menunaikan solat Subuh dan sujud syukur di Masjid Sri Sendayan, Negeri Sembilan, esok, sebagai tanda kesyukuran kepada Allah selepas memenangi pingat emas acara 5,000 meter (m) lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

Fahrin berjaya mengungguli acara tersebut yang berlangsung di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM) selepas menamatkan larian dengan catatan masa 15 minit 35.77 saat (s) sekali gus memperbaharui rekod peribadi terbaiknya 15:53.90s.

Pingat perak dimenangi oleh Jayvind Thanabalan dari Negeri Sembilan dengan catatan masa 15:41.23s manakala gangsa diraih wakil Kedah, Devindra Muniandy (15:44.15s).

Lebih manis lagi itu merupakan emas kedua peribadi Fahrin pada temasya kali ini selepas dia memenangi acara 3,000 meter berhalangan lelaki, semalam sekali gus menutup penampilan terakhirnya di SUKMA dengan cemerlang.

Mengulas mengenai kemenangan tersebut, Fahrin berkata, dia mahu mengambil kesempatan dengan berkunjung ke Masjid Sri Sendayan bagi menyaksikan sendiri keindahan masjid tersebut.

“Saya nak pergi Masjid Sri Sendayan untuk solat Subuh dan sujud syukur. Dari tahun lepas saya memang nak pergi masjid itu tetapi tak dapat-dapat.

“Dengar kata Masjid Sri Sendayan antara masjid paling cantik di Malaysia. Insya-Allah subuh nanti saya dapat pergi dengan bantuan jurulatih,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Fahrin turut mengakui kejayaan tersebut hadir hasil usaha keras dan latihan yang dilakukannya secara konsisten sejak dua tahun lalu, selain sokongan padu daripada jurulatih, keluarga serta Kerajaan Negeri Terengganu.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada Allah kerana dah bagi rezeki saya menang buat kali kedua. Sebelum ini saya menang 3,000m berhalangan, hari ini saya memang dah sasarkan untuk menang 5,000m,” katanya. – UTUSAN

 

The post Fahrin pilih Masjid Sri Sendayan buat sujud syukur appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved