
SERDANG – Selepas menjelmakan dua pingat emas tempoh dua hari, pelari Terengganu, Muhammad Fahrin Aiman Yusmizan mahu menzahirkan kejayaan itu dengan menunaikan solat Subuh dan sujud syukur di Masjid Sri Sendayan, Negeri Sembilan, pagi esok.
Fahrin, 21, melengkapkan kempen Sukma Selangor 2026 terakhirnya itu dengan kilauan emas 5,000 meter (m) lelaki hari ini selepas terlebih dahulu mengungguli acara 3,000m berhalangan kelmarin.
Pada aksi di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM) itu, Fahrain berjaya menamatkan saingan dengan catatan 15 minit 35.770 saat (s) untuk mengetepikan pencabar dari Negeri Sembilan, T. Jayvind yang meraih perak dengan catatan 15:41.230s, manakala M. Devindra dari Kedah membawa pulang gangsa menerusi 15:44.150s.
Lebih manis, Fahrin turut memperbaharui catatan masa peribadi terbaik (PB) 15 minit 53.90s.
“Saya nak ucapkan terima kasih kepada Allah SWT kerana memberikan rezeki untuk saya menang emas kedua. Semalam saya menang 3,000m berhalangan dan hari ini memang saya sasarkan untuk menang 5,000m.
“Saya mahu pergi solat Subuh di Masjid Sri Sendayan dan sujud syukur. Sejak tahun lalu saya memang mahu pergi ke masjid itu tetapi belum berkesempatan,” katanya.
Kejayaan itu hadir sebagai penebus kekecewaan Fahrin selepas sekadar menduduki tempat ke-10 dalam acara 1,500m kelmarin dengan catatan 4:12.48s.
Katanya, kekecewaan itu menjadi pembakar semangat untuk bangkit dan menghadiahkan dua emas buat Terengganu pada penampilan terakhirnya di Sukma.
“Saya niat dalam hati selepas kalah 1,500m, hari ini saya mahu balas dengan memberikan dua pingat emas kepada Terengganu. Alhamdulillah, hasil usaha dan kerja keras saya ketika menjalani latihan pagi dan petang selama dua tahun akhirnya membuahkan hasil,” katanya.
Kejayaan dua emas itu turut melengkapkan kebangkitan Fahrin selepas pengalaman pahit pada Majlis Sukan Sekolah Selangor (MSSS) 2022 sebelum dia bangkit pada 2024 untuk meraih emas 3,000m berhalangan.
Fahrin berkata, pencapaian di Sukma kali ini menjadi hasil kesabaran dan komitmen terhadap latihan selain sokongan pelbagai pihak yang membantunya sepanjang kariernya. -KOSMO! ONLINE
The post Tuai dua emas, Fahrin mahu sujud syukur di Masjid Sri Sendayan appeared first on Kosmo Digital.






