Faktor potensi menang asas dua kerusi tambahan diserah kepada MCA - Ab Rauf

LocalPolitics
30 Oct 2026 • 9:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Faktor potensi menang asas dua kerusi tambahan diserah kepada MCA - Ab Rauf
Ab Rauf menyampaikan ucapan ketika menghadiri program Hi-tea Jalinan Muhibbah Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara di Villa D Acqua, Masjid Tanah, pada Jumaat. Foto Bernama

ALOR GAJAH - Faktor boleh menang serta hasil kajian teliti di lapangan menjadi asas keputusan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menyerahkan dua lagi kerusi tambahan kepada MCA untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh berkata, keputusan penyerahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana dan Bandar Hilir itu dimuktamadkan atas semangat muafakat BN dan PN, serta kepentingan bersama demi memastikan kerusi terbabit ditandingi oleh parti yang mempunyai potensi paling tinggi untuk menang.

Beliau berkata, dengan keputusan itu, MCA kini bertanding di empat kerusi DUN, menjadikan jumlah keseluruhan kerusi yang ditandingi BN kepada 23 kerusi.

"Itu (keputusan) atas rundingan bersama, kepentingan bersama dan melihat kajian yang telah dibuat adalah lebih baik diserahkan kepada parti yang lebih berpotensi untuk memenangi kawasan berkenaan.

"Ia dipersetujui kedua-dua pihak untuk diserahkan kepada pihak MCA. Jadi, MCA ada tambahan dua kerusi, menunjukkan MCA akan bertanding empat kerusi, menjadikan Barisan Nasional bertanding 23 kerusi," katanya kepada pemberita selepas majlis minum petang jalinan muhibah DUN Tanjung Bidara di Masjid Tanah, di sini pada Jumaat.

Menepis dakwaan kononnya keputusan saat akhir itu didorong oleh desakan politik daripada MCA, Ab Rauf menjelaskan perkara itu langsung tidak berbangkit kerana persefahaman telah dicapai secara harmoni.

Beliau berkata, kematangan gabungan BN yang terjalin kukuh sejak lebih tujuh dekad membolehkan sebarang agihan kerusi diselesaikan menerusi pendekatan musyawarah keluarga.

"Itu tidak perlu diperbahaskan kerana kita telah menyelesaikan secara kaedah berkeluarga, dan kebersamaan kita sudah lebih 70 tahun," katanya.

SPR menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala penamaan calon pada 31 Oktober dan pengundian awal pada 10 November.

Bagi mendapatkan berita terkini PRN Melaka ke-16, layari https://election.bernama.com/prn/melaka/2026/. - Bernama

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved