FAM digesa berani berubah

LocalFootball
24 Oct 2026 • 8:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: FAM digesa berani berubah

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) digesa mempertimbangkan jurulatih import sebagai jurulatih tetap Harimau Malaya kerana pengendali interim, Tan Cheng Hoe sudah mencapai had kemampuannya bagi membawa skuad kebangsaan ke tahap lebih tinggi.

Pandangan itu disuarakan pemerhati bola sepak, Prof. Madya Dr. Zulakbal Abd Karim yang berharap FAM perlu berani melakukan perubahan sekiranya mahu melihat lonjakan prestasi Harimau Malaya.

Kata Zulakbal, Cheng hoe masih lagi mampu beri sumbangan daripada aspek teknikal, tetapi kehadiran pengendali asing bukan sekadar membawa pendekatan berbeza, malah berpotensi mengubah budaya kerja di FAM.

“Pada saya, Cheng Hoe tidak ada masalah (sepanjang bersama skuad kebangsaan), beliau pun okey dan boleh memberikan sumbangan, tetapi beliau tidak pernah bantu pasukan capai kejayaan antarabangsa.

“Bagaimanapun, pada saya, (kemampuan) dia sudah sampai ‘tembok’ dan mungkin tidak wajar diberikan slot ketua jurulatih tetap.

“Kalau kekal dalam pasukan sebagai pembantu kepada jurulatih baharu, insya-Allah boleh. Beliau boleh memberikan pelbagai input teknikal kepada jurulatih terbabit,” katanya.

Mengulas lanjut, Zulakbal percaya pelantikan jurulatih luar mampu membawa perubahan lebih menyeluruh, bukan hanya ketika pasukan beraksi di atas padang.

“Saya yakin jurulatih luar akan mengubah budaya kita, budaya kerja, budaya FAM, budaya padang, budaya ampu dan macam-macam lagi,” katanya.

Sebelum ini, Cheng Hoe telah diberikan peranan selaku Pengarah Teknikal Harimau Malaya sebelum diarah kembali jadi jurulatih skuad kebangsaan susulan keputusan Peter Cklamovski meletakkan jawatan pada Jun lepas.

Sebelum ini, FAM dikhabarkan sedia untuk mencari jurulatih berprofil tinggi tetapi masih dalam dilema sama ada mahu ‘pecah tabung’ untuk membayar gaji jutaan ringgit setahun buat pengendali import.

 

The post FAM digesa berani berubah appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved