FAM pandang serius insiden kekecohan di Kuching

Football
13 Nov 2026 • 4:19 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: FAM pandang serius insiden kekecohan di Kuching
Kekecohan yang berlaku pada aksi antara Kuching City dan Selangor FC Ahad lalu.

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) memandang serius insiden kekecohan yang berlaku ketika aksi separuh akhir kedua Piala FA antara Kuching City FC dan Selangor FC di Stadium Taha Ariffin, Kuching pada Ahad lalu.

Badan induk bola sepak negara itu menegaskan setiap insiden yang berpotensi menjejaskan keselamatan pemain dan pegawai serta mencemarkan imej bola sepak negara akan diberikan perhatian sewajarnya.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, pihaknya juga sudah menerima laporan rasmi daripada kedua-dua kelab berhubung insiden yang berlaku pada perlawanan itu.

Menurutnya, laporan berkenaan akan diteliti bersama laporan rasmi daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selain dokumen dan bukti berkaitan sebelum sebarang tindakan lanjut ditentukan.

"FAM memandang serius setiap insiden yang boleh menjejaskan aspek keselamatan pemain dan pegawai serta imej bola sepak negara.

"Sehubungan itu, FAM akan memastikan setiap laporan dan maklumat berkaitan diberikan perhatian sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, MFL pada Selasa lalu turut menyerahkan maklumat berkaitan insiden itu kepada FAM termasuk laporan daripada komisioner perlawanan, koordinator perlawanan, kumpulan pengadil, penilai pengadil dan ketua pegawai medan.

Bagaimanapun, Noor Azman menjelaskan sebarang keputusan atau hukuman hanya akan ditentukan selepas Jawatankuasa Tatatertib FAM bermesyuarat dan meneliti keseluruhan laporan serta bukti berdasarkan peraturan dan prosedur tatatertib yang berkuat kuasa.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved