
PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini mempunyai laporan serta bukti lengkap berhubung insiden kekecohan membabitkan pemain dan pegawai Kuching City serta Selangor pada aksi separuh akhir kedua Piala FA, Ahad lalu.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman mengesahkan pihaknya sudah menerima laporan rasmi daripada kedua-dua pasukan susulan kejadian yang berlaku di Stadium Taha Ariffin, Kuching itu.
Beliau berkata, semua dokumen berkenaan akan diteliti bersama laporan rasmi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) serta maklumat daripada pegawai yang bertugas sepanjang perlawanan sebelum sebarang tindakan diputuskan.
Menurutnya, MFL pada Selasa lalu sudah menyerahkan laporan komisioner perlawanan, koordinator perlawanan, kumpulan pengadil, penilai pengadil dan Ketua Pegawai Medan kepada FAM untuk tindakan lanjut.
“FAM memandang serius setiap insiden yang boleh menjejaskan aspek keselamatan pemain dan pegawai serta imej bola sepak negara.
“Sehubungan itu, FAM akan memastikan setiap laporan dan maklumat berkaitan diberikan perhatian sewajarnya sebelum sebarang keputusan atau hukuman ditentukan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM berdasarkan peraturan serta prosedur yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Insiden berkenaan tercetus pada penghujung masa tambahan apabila berlaku kekecohan antara pemain dan pegawai kedua-dua pasukan di kawasan bangku simpanan.
Kejadian itu didakwa berpunca daripada tindakan pemain tengah Kuching City, Nazmi Faiz Mansor yang berlari ke arah ketua jurulatih Selangor, Kim Pan Gon ketika meraikan jaringan sendiri pemain Gergasi Merah, Mukhairi Ajmal Mahadi.
Pan Gon selepas perlawanan meminta MFL menjalankan siasatan terhadap tindakan Nazmi yang didakwa mencetuskan ketegangan sehingga berlaku kekecohan antara kedua-dua pasukan.
Selain insiden berkenaan, penyokong Selangor turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap mutu pengadilan, khususnya keputusan pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada Kuching City.
FAM bagaimanapun menegaskan sebarang tindakan hanya akan ditentukan selepas Jawatankuasa Tatatertib meneliti keseluruhan laporan dan bukti yang diterima mengikut prosedur ditetapkan. – UTUSAN
The post FAM teliti bukti insiden Nazmi, Pan Gon appeared first on Utusan Malaysia.






