liza02/10/2026 - 09:07 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Okt – Hextar Capital Bhd menerusi anak syarikatnya, Legacy Core Sdn Bhd memperoleh subkontrak bernilai RM60 juta daripada Doland (M) Sdn Bhd bagi kerja menaik taraf Jalan Oya di Sibu, Sarawak.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Hextar berkata skop kerja itu merangkumi kerja-kerja jalan, saliran serta pemindahan kemudahan dan perkhidmatan sedia ada di sepanjang Jalan Oya.
Kerja berkenaan dijadualkan bermula pada 2 Oktober 2026 dan dijangka siap pada 11 Februari 2029.
Pengarah Urusan Hextar Capital, Johnson Chang berkata pemberian subkontrak itu mengukuhkan lagi kehadiran Legacy Core dalam industri pembinaan.
Beliau berkata kontrak berkenaan turut selari dengan strategi kumpulan untuk meningkatkan buku tempahan serta menjana pulangan berterusan kepada pemegang saham.
Fokus kepada pelaksanaan projek
Menurut Johnson, Legacy Core akan memanfaatkan pengalaman dan kepakarannya bagi memastikan projek berkenaan dilaksanakan dengan cekap, selain memenuhi standard kualiti dan keselamatan yang ditetapkan.
Beliau berkata pihaknya juga akan bekerjasama rapat dengan Doland serta pihak berkepentingan lain sepanjang tempoh pelaksanaan projek.
Kontrak terbaharu ini menyusuli satu lagi subkontrak bernilai kira-kira RM60.4 juta untuk kerja menaik taraf Empangan Timah Tasoh Fasa 3 di Perlis yang diraih Hextar pada Jun lalu.
Projek itu dianugerahkan oleh Jati Segera Sdn Bhd (JSSB) sebagai kontraktor utama manakala Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bertindak sebagai pemilik projek.. - DagangNews.com






