Farm Fresh peruntuk RM200 juta FY27 pacu pertumbuhan baharu - Penganalisis

LocalBusiness & Finance
2 Sep 2026 • 11:24 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Farm Fresh peruntuk RM200 juta FY27 pacu pertumbuhan baharu - Penganalisis Image from: Farm Fresh peruntuk RM200 juta FY27 pacu pertumbuhan baharu - Penganalisis hamden02/09/2026 - 11:24 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 2 Sept - Prospek Farm Fresh Bhd dilihat semakin kukuh susulan langkah pengembangan syarikat yang melibatkan naik taraf ladang, pengenalan barisan produk baharu, usaha niaga air mineral premium serta peluasan operasi di Kemboja.

 

Bagi menyokong agenda pertumbuhan itu, Farm Fresh memperuntukkan RM200 juta perbelanjaan modal (capex) bagi FY27, yang akan digunakan untuk menaik taraf ladang, membangunkan produk baharu, memperluaskan perniagaan air mineral serta meningkatkan kapasiti operasi di Kemboja.

 

TA Research berkata, Farm Fresh mempunyai fleksibiliti kunci kira-kira yang mencukupi untuk membiayai rancangan pengembangan tersebut, dengan nisbah gear bersih sehingga 0.8 kali masih berada dalam julat yang selesa bagi kumpulan.

 

Firma penyelidikan itu berkata pihak pengurusan dijangka kekal berhemat dalam pembiayaan capex memandangkan saluran pelaburan kumpulan yang besar.

 

“Walaupun prestasi 1QFY27 lebih lembut, kami kekal positif terhadap prospek pendapatan Farm Fresh apabila pelarasan harga terkini memberi kesan sepenuhnya, tekanan kos input berkurangan dan kapasiti baharu mula beroperasi,” katanya dalam nota penyelidikan.

.

Air mineral premium tambah sumber pendapatan baharu

Antara inisiatif utama Farm Fresh ialah pembangunan perniagaan air mineral premium berskala besar, yang dijangka mewujudkan aliran pendapatan baharu kepada kumpulan.

 

TA Research berkata Farm Fresh merancang melabur RM55 juta dalam tempoh 12 hingga 15 bulan, termasuk RM6 juta untuk pemerolehan kepentingan, bagi membangunkan kemudahan tersebut.

 

Kemudahan itu akan mempunyai dua barisan pengeluaran dengan kapasiti gabungan 1 juta botol sehari, selain gudang, akuifer dan infrastruktur sokongan.

 

“Dalam jangka panjang, usaha niaga ini berpotensi meningkatkan penggunaan rangkaian pengedaran Farm Fresh, selain menyokong pengembangan margin,” katanya.

 

Kemboja jadi pemacu pertumbuhan

Dalam pada itu, TA Research berkata, Kemboja kekal sebagai pasaran luar negara Farm Fresh yang mencatat prestasi paling kukuh, sekali gus mendorong kumpulan untuk meningkatkan pelaburan di negara itu.

 

Farm Fresh sedang melokalkan pengeluaran bagi memanfaatkan pertumbuhan permintaan, mengurangkan kos pengedaran serta mengatasi kekangan kapasiti di Malaysia.

 

Barisan pengeluaran susu dipasteur berkapasiti 19 juta liter dijangka mula beroperasi pada September 2026 atau 2QFY27.

 

Kumpulan juga sedang membangunkan asas penternakan tenusu tempatan di Kemboja bagi menjamin bekalan susu segar untuk jangka panjang.

 

TA Research berkata Farm Fresh telah memeterai perjanjian pajakan selama 49 tahun dengan kerajaan tempatan bagi tanah seluas 1,000 hektar di Pursat untuk membangunkan ladang tenusu.

 

Projek penternakan selama tujuh tahun itu dijangka memerlukan jumlah capex sebanyak AS$68 juta.

 

Pihak pengurusan menjangkakan hasil susu setiap ekor lembu di Kemboja boleh mencapai 20 hingga 25 liter sehari, disokong kelembapan lebih rendah dan iklim yang lebih sesuai untuk baka Holstein tulen, berbanding purata 20 hingga 21 liter sehari di Malaysia.

 

Peralihan LNG bantu kawal kos

Selain pengembangan kapasiti, Farm Fresh turut melaksanakan langkah pengoptimuman kos bagi mengurangkan tekanan terhadap margin.

 

BIMB Securities berkata peralihan kepada gas asli cecair (LNG) berpotensi membantu kumpulan mengurangkan kos bahan api.

 

Farm Fresh mula mengurangkan kebergantungan terhadap diesel dengan beralih kepada LNG di kemudahan Muadzam Shah pada Ogos, yang dijangka mengurangkan kos bahan api sebanyak separuh.

 

Berdasarkan penggunaan diesel semasa melebihi 200,000 liter sebulan, pihak pengurusan menganggarkan penjimatan tahunan sekitar RM4 juta hingga RM5 juta. Inisiatif itu akan dilaksanakan secara berperingkat di kemudahan lain termasuk Taiping dan Larkin.  - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved