Al-`Aqar Healthcare REIT catat hasil RM65.9 juta pada 1H26, melonjak 13.6% disokong dua hospital KPJ baharu

LocalBusiness & Finance
28 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Al-`Aqar Healthcare REIT catat hasil RM65.9 juta pada 1H26, melonjak 13.6% disokong dua hospital KPJ baharu Image from: Al-`Aqar Healthcare REIT catat hasil RM65.9 juta pada 1H26, melonjak 13.6% disokong dua hospital KPJ baharu hamden28/08/2026 - 09:00 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Al-`Aqar Healthcare REIT mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 13.6% kepada RM65.9 juta bagi separuh pertama tahun kewangan 2026 (1H2026), berbanding RM58 juta dalam tempoh sama tahun lalu, didorong sumbangan daripada dua hospital KPJ yang diperoleh pada Oktober 2025.

 

Dua aset berkenaan ialah KPJ Ampang Puteri Specialist Hospital dan KPJ Penang Specialist Hospital, yang terus menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan serta mengukuhkan prestasi portfolio amanah pelaburan hartanah (REIT) penjagaan kesihatan itu.

 

Seiring peningkatan hasil, Pendapatan Hartanah Bersih (NPI) turut meningkat kepada RM57.8 juta bagi 1H2026 daripada RM50.7 juta setahun sebelumnya.

 

Keuntungan selepas cukai (PAT) pula meningkat 4.3% kepada RM33.1 juta, berbanding RM31.7 juta bagi 1H2025, mencerminkan daya tahan operasi asas Al-`Aqar Healthcare REIT di tengah-tengah persekitaran pasaran yang masih mencabar.

 

JLG REIT Managers Sdn. Bhd., selaku pengurus Al-`Aqar Healthcare REIT, berkata prestasi itu menandakan tempoh pertumbuhan tahun ke tahun yang ketiga berturut-turut sejak pengambilalihan kedua-dua hospital KPJ berkenaan.

 

Al-`Aqar Healthcare REIT turut mengisytiharkan agihan pendapatan interim kedua sebanyak 1.76 sen seunit bagi suku kedua 2026 (2Q2026).

 

Ini menjadikan jumlah agihan pendapatan bagi 1H2026 kepada 3.69 sen seunit, meningkat 6.3% berbanding 3.47 sen seunit yang diagihkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurus, Zulhilmy Kamaruddin berkata, prestasi yang lebih kukuh bagi separuh pertama 2026 disokong oleh sumbangan daripada KPJ Ampang Puteri Specialist Hospital dan KPJ Penang Specialist Hospital.

 

“Al-`Aqar Healthcare REIT mencatatkan prestasi yang lebih kukuh bagi separuh pertama 2026, dengan kedua-dua hasil dan PAT mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun.

 

“Melangkah ke hadapan, sektor penjagaan kesihatan Malaysia dijangka terus kekal berdaya tahan dan disokong oleh asas jangka panjang yang positif, termasuk perubahan demografi, peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan serta pertumbuhan berterusan pelancongan perubatan,” katanya.

 

Beliau berkata, walaupun ketegangan geopolitik global dan peningkatan tekanan kos boleh menimbulkan ketidaktentuan terhadap pasaran kewangan, aset penjagaan kesihatan secara tradisinya mempunyai ciri defensif berikutan perkhidmatan yang ditawarkan adalah penting dan menjadi keperluan.

 

Sehubungan itu, katanya, pengurusan akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh daya tahan portfolio menerusi struktur pajakan jangka panjang dan pengurusan modal yang berdisiplin.

 

Pada masa sama, Al-`Aqar Healthcare REIT akan terus menilai secara terpilih peluang pengambilalihan yang berpotensi meningkatkan hasil bagi menjana pulangan jangka panjang yang mampan kepada pemegang unit. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved