Arkib Kopi sasar hasil RM1 juta tahun ini

LocalBusiness & Finance
31 Aug 2026 • 7:45 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Arkib Kopi sasar hasil RM1 juta tahun ini

DARI sebuah rumah sewa kepada premis pemanggang kopi dan kafe, Arkib Kopi Sdn. Bhd. kini menyasarkan untuk melepasi hasil RM1 juta tahun ini, dipacu pengembangan perniagaan daripada segmen borong kepada runcit.

Sasaran itu selepas syarikat mencatat hasil sekitar RM700,000 hingga RM800,000 tahun lalu, dengan pertumbuhan hasil sekurang-kurangnya 10 peratus setahun.

Ahli Lembaga Pengarah dan Pengarah Urusan Awam Arkib Kopi Sdn. Bhd., Mohamed Helmi Ahmad Darki berkata, perniagaan itu kopi itu bermula secara kecil-kecilan sekitar 2018 di rumahnya ketika masih lagi bekerja di bidang korporat.

Katanya, Arkid Kopi yang kemudiannya berpindah di premis di Ibu Sawat @ Arkib Coffee Roaster di Cheras menjangkakan prestasi tahun ini lebih kukuh.

“Harapnya tahun ini kita boleh kekalkan pertumbuhan dan pecahkan RM1 juta hasil menjelang akhir tahun.

“Struktur perniagaan Arkib Kopi kini lebih seimbang dengan kira-kira 50 peratus hasil disumbangkan segmen borong dan selebihnya daripada perniagaan runcit,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di premisnya di Cheras, Selangor.

Daripada sekadar bekerja sambilan di sebuah coffee roaster, Mohamed Helmi mula belajar mengenai kopi, membeli mesin roasting kecil dan bereksperimen di rumah sebelum orang di sekeliling mula meminta beliau memanggang kopi untuk mereka.

“Pada mulanya memang sekadar hobi. Apabila orang mula sanggup membayar untuk kopi yang saya hasilkan, saya fikir saya perlu namakan produk dan daftarkan syarikat,” ujarnya.

Beliau berkata, permintaan meningkat seterusnya berkembang sedikit demi sedikit sehingga akhirnya mendorong beliau meninggalkan pekerjaan korporat untuk memberi tumpuan kepada perniagaan kopi.

Menurutnya, syarikat yang juga mempunyai kafe di Melaka memberi tumpuan kepada pengukuhan operasi domestik sebelum memperluaskan jejaknya ke pasaran antarabangsa.

Jelasnya, Kuala Lumpur menjadi antara lokasi yang disasarkan untuk pengembangan seterusnya, manakala rancangan membuka outlet di Tokyo, Jepun yang pada asalnya dijangka dilaksanakan dalam tempoh satu hingga dua tahun terpaksa ditangguhkan susulan ketidaktentuan politik dan ekonomi semasa.

“Memang kami menyasarkan untuk berkembang ke luar negara. Pada asalnya, kami menyasarkan Tokyo, tetapi ketidakstabilan politik dan keadaan semasa di Jepun menyebabkan rancangan itu terpaksa ditangguhkan.

“Secara realistik, keadaan itu mungkin menyebabkan rancangan berkenaan ditolak tiga hingga empat tahun lagi,” ujarnya.

Mohamed Helmi berkata, pengalaman mengendalikan operasi di Melaka menjadi platform penting kepada syarikat untuk menguji keupayaan pasukan menguruskan perniagaan tanpa kebergantungan sepenuhnya kepada pengasas.

Katanya, perkara itu penting kerana pengembangan ke lebih banyak lokasi memerlukan pasukan yang mampu mengendalikan operasi secara sendiri berdasarkan garis panduan yang ditetapkan.

“Bagi saya, sesebuah syarikat hanya benar-benar berfungsi apabila ia boleh beroperasi tanpa kehadiran saya.

“Ketika membuka operasi di Melaka, saya terlibat secara langsung dari awal hingga akhir. Jadi, untuk cawangan seterusnya, saya sedang melatih individu utama dalam pasukan supaya mereka mampu mengetuai projek tersebut,” katanya.

Beliau berkata, Arkib Kopi menyasarkan sekurang-kurangnya satu pembukaan kafe setahun, dengan empat hingga lima outlet di Malaysia dilihat sebagai jumlah yang sesuai untuk memastikan syarikat terus memberi penekanan kepada kualiti.

“Kami bukan jenis syarikat yang mengejar kuantiti. Fokus kami lebih kepada kualiti,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Helmi berkata, syarikat kini mempunyai sekitar 15 hingga 20 jenis kopi dalam pusingan penawaran, termasuk dari Kenya, Brazil dan Indonesia. – UTUSAN

The post Arkib Kopi sasar hasil RM1 juta tahun ini appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved