amree09/09/2026 - 17:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Sept — Pimpinan Ehsan Berhad bakal dinyahsenarai daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 14 September 2026 selepas gagal mengemukakan pelan pemulihan penyenaraiannya.
Langkah itu menamatkan perjalanan kumpulan tersebut yang sebelum ini dikenali sebagai TRIplc Berhad, selepas syarikat terbabit gagal menyelesaikan status tunai di bawah Nota Amalan 16 (PN16).
Saham kumpulan berkenaan digantung dagangan sejak 21 Ogos 2026, selepas cadangan pengambilalihan syarikat tenaga boleh diperbaharui (RE), reNIKOLA Holdings Sdn Bhd tidak dapat diteruskan.
Bursa Malaysia sebelum ini pernah memberikan lanjutan masa terakhir sehingga 30 Jun 2026 untuk syarikat tersebut mengemukakan pelan pemulihan dalam usaha bebas daripada status bermasalah.
Susulan kegagalan itu, Pimpinan Ehsan memilih untuk memulangkan wang tunai kepada pemegang saham menerusi pengurangan modal, dengan setiap pemegang saham akan menerima 91 sen bagi setiap saham.
Pengagihan tersebut berjumlah RM62.9 juta dan dibiayai daripada sebanyak RM65 juta yang disimpan dalam akaun pentadbir setakat 22 April 2026, dengan dijadualkan dibayar pada 1 September 2026.

Pemegang saham terbesar Pimpinan Ehsan, Pitahaya (M) Sdn Bhd yang memiliki kira-kira 37.4% kepentingan, dijangka menerima kira-kira RM23.53 juta daripada pengagihan itu.
Sementara itu, pemegang saham berkaitan pengarah, Lim Beng Guan, yang memegang 9.36% kepentingan dan beliau turut berada dalam lembaga pengarah reNIKOLA, dijangka menerima sekitar RM5.89 juta.
Pimpinan Ehsan sudah diklasifikasikan sebagai syarikat berstatus PN16 sejak 2018 selepas menjual anak syarikatnya, TRIplc, kepada Puncak Niaga Holdings Berhad dengan pertimbangan harga RM210 juta.
Sejak itu, kumpulan berusaha menyelesaikan status tersebut menerusi cadangan pengambilalihan reNIKOLA yang mula dirangka pada 2021 sebelum diformalkan pada 2022 dan diperluaskan pada 2023.
Bagaimanapun, cadangan tersebut berdepan proses semakan kawal selia yang berpanjangan, dan reNIKOLA tidak meneruskan transaksi tersebut susulan tempoh akhir semakin hampir untuk pelan regularisasi.
Lembaga Pengarah Pimpinan Ehsan kemudian memutuskan bahawa pemulangan wang tunai kepada pemegang saham merupakan pilihan lebih sesuai selepas pelan berkenaan tidak dapat dilaksanakan. - DagangNews.com






