Farres Putra maut selepas tiga motosikal bergesel dalam perlumbaan Cub Prix

30 Aug 2026 • 6:01 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Farres Putra maut selepas tiga motosikal bergesel dalam perlumbaan Cub Prix

KUALA NERUS: Tiga buah motosikal bergesel sesama sendiri dipercayai menjadi punca kemalangan meragut nyawa pelumba muda, Farres Putra Mohd. Fadhil, 18, semasa perlumbaan Malaysia Cub Prix di Litar Permotoran Gong Badak, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.35 petang itu, dua lagi pelumba turut mengalami kecederaan dan kini menerima rawatan di HSNZ, di sini.

Insiden itu berlaku di Selekoh 3 pada pusingan pertama perlumbaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, kemalangan berlaku ketika perlumbaan berlangsung apabila tiga motosikal dipercayai bergesel sesama sendiri.

Katanya, mangsa mengalami kecederaan dan dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu dengan ambulans untuk mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di hospital. Polis menerima maklumat mengenai kematian seorang pelumba yang terlibat dalam kemalangan ketika perlumbaan motosikal Malaysia Cub Prix di Litar Permotoran Gong Badak,” katanya.

Azli berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

Proses bedah siasat mayat Farres Putra selesai kira-kira pukul 12 tengah malam tadi sebelum jenazahnya dituntut waris untuk dibawa pulang ke kediaman keluarga di Shah Alam, Selangor, bagi urusan pengebumian.

Sementara itu, seorang rakan pelumba, Nazrul Izad Muhammad Bahuddin, 26, menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan besar kepada dunia sukan permotoran negara.

Katanya, Allahyarham Farres Putra seorang pelumba muda yang berpontensi dengan memiliki bakat besar dan masa depan cerah.

“Allahyarham masih muda, berbakat dan kehilangan ini sangat besar,” katanya.

Menurutnya, walaupun jarak usia lapan tahun dan berlumba untuk pasukan berbeza, dia dan Allahyarham mempunyai hubungan yang akrab dengan sering bersama ketika menyertai perlumbaan di peringkat Asia memandangkan jumlah pelumba Malaysia menyertai kejohanan itu tidak ramai.

Katanya, sebelum turun ke litar perlumbaan semalam, Allahyarham Farres Putra menunaikan solat Zuhur di sebelahnya dengan memakai kopiah hitam.

“Kali ini Allahyarham pakai kopiah hitam. Jarang saya tengok dia pakai kopiah ketika solat dan berdoa agak lama,” katanya. – UTUSAN

The post Farres Putra maut selepas tiga motosikal bergesel dalam perlumbaan Cub Prix appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved