amree13/11/2026 - 09:00 Gambar hiasan - BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Nov — Kerajaan dijangka memulakan fasa kedua Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) tidak lama lagi, khusus untuk pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang tidak ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen (DTI).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pada ketika ini program pendaftaran komuniti pelarian Myanmar di seluruh negara itu masih lagi berada dalam fasa pertama dengan menyasarkan individu yang berada dalam DTI.
Beliau menambah, kerajaan turut mengkaji kemungkinan mengenakan kawalan pergerakan terhadap kumpulan berkenaan dengan mengambil kira kepentingan keselamatan dan kedaulatan negara serta aspek hak asasi manusia ke atas pelarian berkenaan.
"Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri (JPM) bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan bagi mengadakan sesi libat urus untuk mendapatkan maklum balas serta merangka langkah pengurusan pelarian yang bersesuaian," jelas beliau.
Ahmad Zahid berkata demikian dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman web Parlimen bagi menjawab pertanyaan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai status penyediaan pelan pengurusan pelarian secara menyeluruh untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

Sementara itu, menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau), beliau berkata kemasukan pelarian ke Malaysia dipercayai berlaku melalui sindiket di sempadan darat dan laut, bukannya menerusi pintu masuk antarabangsa yang diwartakan.
Katanya, kerajaan turut mempergiatkan usaha memperkukuh Arahan MKN No.23 mengenai Dasar dan Mekanisme Pengurusan Pelarian dan Pencari Suaka (Semakan 2023) yang ditandatangani oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri pada 14 Jun 2023.
"Dalam pada itu, operasi bersepadu membabitkan agensi keselamatan, badan penguat kuasa dan pihak berkuasa tempatan turut dilaksanakan bagi menangani pelanggaran undang-undang oleh pendatang asing, termasuk kegiatan berkaitan kumpulan samseng," kata Ahmad Zahid.
Ujar beliau, pelaksanaan DPP bagi tujuan pendaftaran, bersama-sama dengan operasi bersepadu agensi keselamatan dan penguat kuasa, dijangka dapat membantu kerajaan membendung pengaruh negatif yang cuba memanipulasi komuniti sedia ada.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Shahidan berhubung tindakan kerajaan menangani kemasukan pelarian Myanmar yang didakwa terbabit dalam kegiatan kumpulan samseng, serta langkah mencegah eksploitasi terhadap komuniti berkenaan. - DagangNews.com






