amree06/11/2026 - 09:50 Foto Facebook Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ewon Benedick Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Nov – Banyak projek jalan luar bandar berisiko dibatalkan jika penangguhan pengeluaran surat setuju terima (SST) tanpa tempoh jelas berterusan, sekali gus menjejaskan pelaksanaan tender baharu di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang berkata, arahan Kementerian Kewangan (MOF) pada 10 September 2025 supaya pengeluaran SST ditangguhkan sebagai langkah kawalan perbelanjaan turut memberi kesan besar kepada pelaksanaan projek jalan luar bandar.
Beliau menjelaskan, tempoh sah sesuatu SST hanya sekitar dua hingga tiga bulan, manakala kegagalan memperoleh kelulusan lanjut MOF dalam tempoh enam bulan boleh menyebabkan tender projek terbabit dibatalkan dan proses perolehan perlu dimulakan semula.
"Keadaan itu turut menimbulkan risiko terhadap projek yang tidak ditender atau dilaksanakan dalam tempoh dua tahun, memandangkan garis panduan penyediaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menetapkan projek sedemikian berpotensi untuk dibatalkan," jelasnya.
Sebagai contoh, Rubiah berkata pengeluaran SST bagi 20 projek jalan luar bandar di Sabah yang masih lagi pada peringkat prapelaksanaan sudah pun dibekukan, manakala 62 projek KKDW yang sudah memasuki fasa pembinaan akan diteruskan.
Beliau menyatakan demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 dan Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 bagi kementerian berkenaan untuk kelulusan peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.
Artikel berkaitan: 'Tangguh tanpa tarikh sama ertinya dengan batal' - dakwa Setiausaha Akhbar KKDW

Dalam perkembangan berkaitan, KKDW melaksanakan penyusunan semula dengan mengalihkan RM200 juta daripada peruntukan asal Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) 2026 berjumlah RM413 juta bagi menyelesaikan tunggakan bayaran projek jalan luar bandar.
"Langkah berkenaan dibuat berikutan kekangan pelaksanaan PPRS termasuk pertikaian pemilikan tanah dalam kalangan waris, kekurangan tapak bersesuaian serta pertindihan nama pemohon yang menyebabkan sebahagian projek terpaksa ditangguhkan," tegas Rubiah.
Menurutnya, penyusunan semula itu bukan bermakna kementerian mengetepikan agenda kebajikan dan penyediaan rumah kepada masyarakat luar bandar, sebaliknya bagi mengelakkan peruntukan tahunan tidak dapat dibelanjakan akibat kelewatan pelaksanaan projek.
Bagi 2027, kerajaan memperuntukkan RM416.2 juta untuk PPRS yang dijangka memberi manfaat kepada 12,457 penerima menerusi pembinaan rumah baharu dan baik pulih kediaman di seluruh negara.
Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan KKDW berjumlah RM4.85 bilion bagi 2027 melalui undian suara majoriti, selepas 31 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan. - DagangNews.com





