Fasa peralihan monsun bermula 9 Oktober, waspada ribut petir - MetMalaysia

LocalEnvironment
6 Oct 2026 • 5:39 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Fasa peralihan monsun bermula 9 Oktober, waspada ribut petir - MetMalaysia

SHAH ALAM, 6 OKT: Fasa peralihan monsun dijangka bermula 9 Oktober ini dan berterusan sehingga penghujung bulan, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

MetMalaysia memaklumkan sepanjang fasa tersebut, negara dijangka menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang boleh menggalakkan pembentukan awan ribut petir.

“Permulaan fasa ini menandakan berakhirnya musim Monsun Barat Daya yang bermula sejak 14 Mei 2026. Keadaan itu lazimnya membawa hujan lebat dan kilat berserta angin kencang dalam tempoh singkat, terutama pada waktu petang dan awal malam.

“Fenomena berkenaan dijangka berlaku di kebanyakan kawasan barat dan pedalaman Semenanjung Malaysia serta barat Sabah dan Sarawak,” maklumnya menerusi kenyataan.

Menurut MetMalaysia, keadaan cuaca itu berpotensi menyebabkan beberapa kejadian seperti banjir kilat, kepala air dan pokok tumbang.

“Selain itu, angin kencang yang berlaku ketika ribut petir turut berisiko menyebabkan kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.

“Orang ramai supaya sentiasa peka terhadap perkembangan cuaca semasa sepanjang tempoh fasa peralihan monsun,” maklumnya.

Maklumat cuaca dan gempa bumi terkini yang sahih boleh diperoleh melalui laman web rasmi MetMalaysia, aplikasi mudah alih myCuaca serta media sosial rasmi jabatan itu.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan melalui talian Hotline MetMalaysia di 1300-22-1638.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved