
SELEPAS melalui fasa yang sukar terutama dibelenggu kecederaan, beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah akhirnya kembali mengecapi kejayaan manis apabila menjuarai Terbuka Denmark 2026 kelmarin, sekali gus menamatkan penantian 18 tahun.
Kejayaan di Jyske Bank Arena, Odense itu cukup bermakna buat pasangan ranking No. 5 dunia berkenaan selepas bangkit menewaskan gandingan Jepun, Hinata Suzuki-Nao Yamakita menerusi kemenangan straight set 21-18, 21-11 dalam tempoh 36 minit.
Kemenangan itu menyaksikan mereka muncul beregu wanita kedua Malaysia menjuarai kejohanan berprestij berkenaan, mengulangi kejayaan gandingan legenda negara, Chin Eei Hui-Wong Pei Tty pada edisi 2008.
“Saya rasa kami semakin kuat selepas melalui pelbagai perkara sejak beberapa bulan lalu, termasuk kecederaan serta pengalaman baik dan buruk. Saya sangat gembira dapat melalui semua ini bersama Thinaah.
“Berdiri di podium tertinggi hari ini amat bermakna buat kami dan saya tidak mahu berhenti setakat ini. Kami mahu terus melangkah ke hadapan dan memperbaiki prestasi,” kata Pearly kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat perlawanan.
Mengulas persaingan sengit, Thinaah berkata mereka memilih untuk tidak meletakkan tekanan berlebihan terhadap diri sendiri, sebaliknya menikmati setiap perlawanan dan memberi tumpuan kepada permainan sendiri serta mengelak berdepan kecederaan.
“Saya rasa dalam acara beregu wanita sekarang, semua pasangan sangat bagus. Setiap pasangan semakin kuat, pantas dan agresif. Namun, kami tidak mahu meletakkan terlalu banyak tekanan terhadap diri sendiri. Kami hanya mahu menikmati permainan, suasana dan keadaan di sini. Saya rasa itulah yang kami lakukan sepanjang kejohanan ini,” ujarnya.
Bagaimanapun, pasangan negara itu tidak mempunyai banyak masa untuk meraikan kejayaan apabila dijadualkan meneruskan cabaran di Terbuka Perancis dan akan berdepan gandingan Turkiye, Bengisu Ercetin-Nazlican Inci esok.
The post Fasa sukar sudah berakhir appeared first on Kosmo Online.






