Fatin Afeefa pernah tuntut nafkah anak, minta para ibu jangan takut pergi ke Mahkamah Syariah

LocalFamily & Parenting
24 Aug 2026 • 4:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Fatin Afeefa pernah tuntut nafkah anak, minta para ibu jangan takut pergi ke Mahkamah Syariah

PETALING JAYA: Pelakon, Fatin Afeefa menyokong tindakan para ibu yang berdepan isu keengganan bekas suami membayar nafkah anak untuk bertindak tegas dengan memfailkan tuntutan di Mahkamah Syariah.

Fatin atau Fatin Nur Afifah Shamsudin, 32, berkata, dokumen rasmi mahkamah sangat penting supaya terdapat bukti hitam putih dan boleh mengelakkan bekas suami memberi pelbagai alasan.

“Tuntut sahaja, saya buat masa anak berusia lapan tahun. Saya buat pun sebab saya kena fitnah tidak persekolahkan anak dan tidak bagi makan, padahal anak saya di sekolah antarabangsa (international school) dahulu.

“Tengah cuti semester, tidak tahu sebab tidak bayar kan. Ada hitam putih nanti lega sedikit, sudah tidak boleh ‘kona-kona’ (beralasan),” katanya menerusi satu hahtaran di Threads miliknya.

Menurut pelakon filem Tentang Bulan itu, biarpun bekas suami culas mematuhi perintah perundangan tersebut, hak anak-anak untuk menuntut tunggakan nafkah berkenaan tetap tidak akan hilang.

“Kalau bekas suami tidak ikut perintah pun tidak mengapa, nanti anak sudah cukup umur, boleh tuntut hutang piutang itu sendiri,” katanya.

Fatin menyuarakan perkara itu bagi menjawab pertanyaan seorang ibu di Threads yang dilema untuk membuat tuntutan di Mahkamah Syariah selepas 10 tahun anak-anaknya tidak pernah diberi nafkah oleh bekas suami.

Wanita berkenaan mengaku bimbang dituduh sengaja mencari pasal sekiranya baru mahu bertindak sekarang, walaupun kebajikan anak-anaknya kini dijaga oleh suami baharu.

Untuk rekod, Fatin Afeefa sah bercerai dengan bekas suaminya yang juga seorang pelakon, Adam Shahz, pada 30 Mei 2017 selepas empat tahun mendirikan rumah tangga.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved