
KYIV: Bekas Menteri Pertahanan Ukraine, Mykhailo Fedorov yang dipecat bulan lalu, mendesak negara itu segera mengadakan pilihan raya yang ditangguhkan susulan pencerobohan Russia.
Ukraine mengisytiharkan undang-undang tentera selepas tentera Russia merentasi sempadannya pada Februari 2022, menyebabkan pilihan raya tidak boleh diadakan.
“Demokrasi tidak boleh dijadikan tebusan oleh Russia. Kita berjuang kerana kita mahu kekal sebagai sebuah negara Eropah yang bebas,” kata Fedorov dalam video yang dimuat naik di YouTube.
Fedorov berkata, Ukraine perlu mencari mekanisme yang sah, selamat dan realistik bagi membolehkan negara itu memulihkan sepenuhnya proses demokrasi walaupun perang berpanjangan.
Bekas menteri pertahanan itu mengakui terdapat pelbagai cabaran untuk mengadakan pilihan raya ketika perang, termasuk memastikan anggota tentera, penduduk yang tinggal berhampiran barisan hadapan serta jutaan rakyat Ukraine di luar negara dapat mengundi.
“Ini sesuatu yang rumit. Tetapi kerumitan tidak bermakna ia mustahil,” katanya.
Fedorov dilantik sebagai menteri pertahanan pada Januari dan cuba melakukan pembaharuan terhadap angkatan tentera yang terjejas akibat skandal rasuah, kekurangan peralatan, masalah ketidakhadiran anggota, layanan terhadap anggota kerahan serta usaha mobilisasi yang tidak popular.
Pemecatannya pada Julai mencetuskan beberapa minggu bantahan, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap Presiden, Volodymyr Zelensky yang kemudiannya turut menggantikan Panglima Tentera Ukraine, Oleksandr Syrsky yang dilihat secara meluas sebagai pesaing Fedorov.
Satu lagi demonstrasi bagi menyokong Fedorov dijadualkan diadakan di luar Parlimen, menurut bekas penasihat merangkap penyokong utamanya, Sergiy Sternenko.
Fedorov tidak memberikan sebarang petunjuk mengenai rancangan politiknya menerusi video itu, namun beliau berulang kali menyatakan hanya akan kembali menyertai kerajaan sebagai menteri pertahanan.
Zelensky kemudian melantik Yevgeniy Khmara, pegawai perisikan berpengalaman yang kurang dikenali dalam arena politik, sebagai pemangku menteri pertahanan sementara menunggu pengundian di Parlimen.
The post Fedorov desak Ukraine adakan pilihan raya appeared first on Utusan Malaysia.






