hamden02/09/2026 - 18:30 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Sept - Felda memberi jaminan akan bekerjasama sepenuhnya dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan membabitkan agensi itu dan anak-anak syarikatnya, termasuk tujuh kes yang dibuka semula susulan maklumat baharu.
Felda berkata pihaknya menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan dan akan terus membantu SPRM bagi memastikan semua siasatan dilaksanakan secara telus, adil dan menyeluruh.
“Kami tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan rasuah, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa atau pelanggaran undang-undang yang boleh menjejaskan kepentingan peneroka dan institusi,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pada masa sama agensi itu turut menggesa semua pihak menghormati proses siasatan yang sedang berlangsung.
SPRM hari ini memaklumkan agensi penguatkuasaan itu membuka enam kertas siasatan baharu berhubung dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah membabitkan FELDA serta anak syarikatnya, FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).
ARTIKEL BERKAITAN: SPRM siasat FELDA dan FIC, tangkapan dijangka bermula seawal minggu hadapan
Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman berkata siasatan itu susulan maklumat yang diterima pada 24 Ogos lepas berkaitan pelaksanaan projek dan pelaburan oleh pengurusan FELDA serta FIC antara 2010 dan 2020.
Enam perkara berkenaan ialah pembelian Syarikat Tataran Aras Sdn Bhd di Limbang, Sarawak, pengambilalihan Grand Borneo Hotel Sdn Bhd di Sabah, pembelian Grand Plaza Service Apartments di London, penubuhan FELDA Wellness Corporation Sdn Bhd, pengambilalihan FELDA House dan Grand
FELDA House serta dakwaan penyelewengan dalam pembangunan projek Kuala Lumpur Vertical City.
SPRM turut meneliti satu kertas siasatan lama berkaitan hartanah Park City Grand Plaza yang masih belum ditutup dan kini melalui proses bantuan perundangan bersama.
Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kelemahan serta masalah dalam pengurusan Felda ditangani dengan tindakan tegas bagi memperkukuh tadbir urus dan mengelakkan isu sama berulang.
Beliau berkata pasukan petugas khas yang menyiasat isu membabitkan Felda telah memulakan tugas, dengan hasil siasatan dijangka diumumkan selepas proses berkenaan selesai. - DagangNews.com



_-_AZIM_RAHMAN_3.jpg)


